BRITAIN semalam melaporkan sifar kematian akibat Covid-19, kali pertama sejak Julai, walaupun peningkatan kes jangkitan baru-baru ini dikaitkan dengan varian Delta.
Menurut angka baharu kerajaan, 127,782 maut di United Kingdom (UK) dalam tempoh 28 hari sejak kali pertama pandemik – jumlah paling teruk berbanding negara Eropah.
UK melaporkan 4.49 juta kes setakat ini.
Kematian sifar dalam laporan harian semalam, selepas kerajaan melaporkan hanya satu kematian Covid-19 di seluruh UK pada Isnin yang juga hari cuti umum.
Angka satu kematian itu dianggap terlalu rendah pada hujung minggu dan cuti umum kerana kelewatan laporan.
Kali terakhir tiada kematian dilaporkan di seluruh UK ialah pada 30 Julai tahun lalu.
Setiausaha Kesihatan Matt Hancock menerima dengan gembira berita itu dan berkata pemberian vaksin di Britain yang bermula sejak Disember, nampaknya memberi kesan.
Namun, beliau mengingatkan rakyat kes koronavirus masih meningkat.
“Kita belum berjaya melawan virus ini,” katanya mendesak orang ramai mematuhi peraturan kesihatan.
Britain mengenakan sekatan ketat pada Januari ketika berdepan gelombang kedua kes jangkitan dan kematian, diikuti dengan kehadiran varian lebih mudah berjangkit.
UK negara pertama di dunia yang memulakan kempen imunisasi besar-besaran.
Sejak itu, ia selesai memberikan dua dos suntikan vaksin kepada lebih 25 juta penduduk – hamper separuh populasi dewasa.
Pakar memberi amaran, Britain mungkin berdepan gelombang ketiga berikutan varian Delta yang dikesan di India.
Semalam, Britain merekodkan lebih 3,000 kes baharu untuk tujuh hari berturut-turut, menyebabkan ramai yang ragu-ragu dengan keputusan kerajaan untuk menarik balik sekatan bermula 21 Jun ini. – AFP, 2 Jun, 2021.
Komen