MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan interaksi terkini berkaitan Semenanjung Korea namun tetap mengekalkan sekatan terhadap Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.
“Anggota Majlis (Keselamatan) mengalu-alukan langkah terkini serta komunikasi yang berlaku antara Korea Utara dan Korea Selatan,” kata Duta Kazakhstan ke PBB, Kairat Umarov yang bertindak sebagai presiden bergilir Majlis Keselamatan untuk bulan ini, kepada pemberita selepas rundingan tertutup majlis itu.
“Anggota majlis berkata dialog awal sedemikian antara kedua-dua negara Korea boleh membuka peluang dalam membina keyakinan dan kepercayaan di Semenanjung Korea dalam usaha mengurangkan ketegangan selain memacu ke arah pembasmian senjata nuklear,” katanya.
Mereka melahirkan harapan agar interaksi sedemikian akan membawa ke arah pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, katanya.
Meskipun perkembangan itu sesuatu yang positif, Majlis Keselamatan tidak akan berganjak daripada keputusannya mengenakan sekatan terhadap Korea Utara berikutan program senjata nuklear dan peluru berpandunya.
“Anggota Majlis Keselamatan mengulangi bahawa Korea Utara dan semua negara anggota yang lain hendaklah secara komprehensif dan tegas melaksanakan semua resolusi Majlis Keselamatan yang relevan,” kata Umarov.
Korea Utara dan Korea Selatan pada Selasa memulakan rundingan peringkat tinggi, yang pertama seumpamanya dalam tempoh dua tahun, di Perkampungan Perdamaian Panmunjom yang menyaksikan kawalan ketat di sempadan kedua-dua negara.
Satu kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan selepas dialog itu menyebut Korea Utara bersetuju menghantar delegasi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, yang bermula pada Februari di daerah Pyeongchang di timur Korea Selatan, dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2018 pada Mac.
Seoul dan Pyongyang turut bersetuju mengadakan dialog berasingan antara pihak berkuasa tentera selepas mencapai kata sepakat bahawa mereka perlu bekerjasama untuk meredakan ketegangan ketenteraan dan mewujudkan persekitaran yang aman di Semenanjung Korea, antara lain.
Korea Utara juga bersetuju membuka semula hotline tentera dengan Korea Selatan di seluruh sempadan barat pada Selasa ketika rundingan peringkat tinggi antara Korea berlangsung.
Majlis Keselamatan mengguna pakai 10 resolusi yang mengandungi sekatan terhadap Korea Utara sejak 2006. – Bernama, 11 Januari, 2018.
Komen