2 pemimpin tunjuk perasaan Thailand bebas dengan ikat jamin


Peguam hak asasi manusia Thailand Arnon Nampa (kiri) dan aktivis Panupong Jadnok didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan juga dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

PEGUAM hak asasi manusia Thailand Arnon Nampa dan aktivis Panupong Jadnok yang berdepan beberapa tuduhan menghina monarki dalam tunjuk perasaan tahun lalu akhirnya dibenar diikat jamin hari ini.

Mahkamah Jenayah Bangkok membenarkan  Arnon, 36, dan Panupong, 24, diikat jaman selepas beberapa minggu ditahan pra bicara dan didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan juga dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki. 

Mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Masing-masing dibenar diikat jamin 200,000 Baht dengan syarat tetap berada di Thailand dan perlu hadir ke mahkamah apabila dipanggil.

Arnon dan Panupong yang positif Covid-19 ketika dalam tahanan bulan lalu, dirawat di Hospital Universiti Thammasat. Kedua-duanya dijangka dibebaskan hari ini.

Arnon sudah ditahan melebihi 100 hari manakala Panupong lebih 80 hari.

Sementara itu, seorang lagi aktivis, Chukiat Saengwon juga dibenarkan diikat jamin hari ini.

Arnon adalah antara pemimpin utama di sebalik tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok untuk menuntut perubahan politik, termasuk Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berundur, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Bulan lalu, pemimpin tunjuk perasaan, Panusaya Sithijirawattanakul yang didakwa atas lèse-majesté setelah mengetuai bantahan di Universiti Thammasat dan di Sanam Luang tahun lalu turut dibenar diikat jamin.

Beliau disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas dibebaskan. – Bernama, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen