INDIA akan membuka semula hampir 200 kes belum selesai yang ada kaitan dengan pembunuhan beramai-ramai kaum Sikh pada 1984 yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa, kebanyakannya di New Delhi.
Mahkamah Agung semalam memutuskan akan memberi mandat kepada panel tiga anggota untuk “menyiasat semula” 186 kes keganasan terhadap kaum minoriti Sikh yang menyebabkan kematian, yang sebelum ini ditutup polis.
Keganasan itu meletus hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri ketika itu Indira Gandhi dibunuh oleh pengawalnya dari kaum Sikh. Ia berlarutan selama tiga hari dan menyaksikan kaum Sikh dirogol dan dibunuh, sementara kediaman dan premis perniagaan mereka dibakar.
Hanya sebilangan kecil yang dihadapkan ke pengadilan berkait insiden itu manakala suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan sebelum ini gagal mendakwa beberapa kes kecil.
Gandhi, yang ketika itu mempimpin Parti Kongres, ditembak mati selepas mengarahkan tentera India merempuh Kuil Emas di Amritsar, sebuah rumah ibadat Sikh di utara Punjab, bagi menyerbu kumpulan pemisah yang berlindung di situ.
Pemimpin Sikh mendakwa angka sebenar korban episod itu jauh lebih besar daripada angka rasmi 3,000 yang dikeluarkan oleh kerajaan. Mereka menuduh pemimpin Kongres mengapi-apikan keganasan tersebut, termasuk sehingga menyebabkan kaum Sikh diheret keluar dari rumah dan dibakar hidup-hidup.
Panel siasatan terbaru ini akan diketuai seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan dibantu oleh seorang bekas pegawai polis dan seorang lagi pegawai polis yang masih berkhidmat.
Keputusan membuka semuka kes bersejarah ini “berita baik kepada mangsa yang menunggu keadilan lebih 33 tahun,” kata peguam HS Phoolka, yang mewakili mereka.
Agensi penyiasat ulung di India menuduh pemimpin kanan Kongres Sajjan Kumar dalang menghasut keganasan, tetapi dia dibebaskan oleh mahkamah pada 2013. – AFP, 11 Januari 2018
Komen