Suntikan tunai RM5 bilion tak cukup, kata Pakatan


PH kecewa mendapati hanya RM5 bilion adalah suntikan tunai baharu, bukannya RM45 bilion suntikan tunai yang diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan teruk PKP 3.0 terhadap ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Jun, 2021.

SUNTIKAN tunai baharu RM5 bilion tidak cukup untuk mengatasi kesan teruk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap ekonomi, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan sepatutnya lebih berani berbelanja dengan menyuntik terus RM45 bilion ke dalam ekonomi untuk menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion adalah suntikan tunai baharu yang diumumkan Putrajaya semalam.

“Suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu. 

“Kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 ini. 

“Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut,” menurut satu kenyataan yang ditandatangani Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

PH juga menggariskan lima tuntutan supaya suntikan RM45 bilion memberi kesan terus kepada pekerja dan perniagaan iaitu:

• Meningkatkan bantuan kebajikan bulanan ke RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja, yang dijangka berjumlah RM7 bilion bagi 7 bulan ke depan sehingga lengkapnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember, yang diharap mampu mencapai imunisasi kelompok meliputi 80% penduduk;

• Pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20, sehingga PICK lengkap pada hujung tahun ini. Ini akan membantu 8 juta rakyat dan syarikat di Malaysia. Kos ini semestinya ditanggung industri perbankan, yang telah merekodkan keuntungan selepas cukai yang sihat berjumlah hampir RM23 bilion bagi 2020 berbanding RM32.3 bilion pada 2019;

• Memberi insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, melibatkan insentif gaji RM500 sebulan bagi pekerja warganegara dan insentif pengambilan kerja RM300 sebulan bagi majikan, yang dijangka mampu mewujudkan pekerjaan bagi 300,000 rakyat Malaysia dan menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Pengangguran di kalangan belia kekal tinggi iaitu pada kadar 13.4% setakat Mac 2021;

• RM3.5 bilion bagi Kementerian Kesihatan untuk mempercepat serta mempermudah PICK, serta meningkatkan usaha saringan, mengenal pasti kontak rapat, serta merawat kes positif Covid-19, meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital termasuk peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelak runtuhnya sistem kesihatan awam kita; dan

• RM28 bilion dalam bentuk geran; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang terjejas teruk. Industri pelancongan kehilangan RM100 bilion tahun lalu, dan tanpa ‘talian hayat’ dari kerajaan sudah pasti industri ini akan hadapi masa depan yang amat kelam.

PH seterusnya berkata sebagai langkah pertama Parlimen mesti bersidang secepat mungkin dan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan kawasan yang sama untuk membantu semua penduduk di kawasan mereka, sehingga pandemik Covid-19 tamat. 

“Covid-19 memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira mereka penyokong Perikatan Nasional mahupun PH.” – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen