China tangkap blogger tipu jumlah kematian di sempadan India


Blogger itu mendakwa kematian akibat perang di sempadan itu jauh lebih tinggi daripada angka rasmi iaitu 4 kematian. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

CHINA telah memenjarakan seorang blogger terkenal kerana “memfitnah para pejuang” setelah beliau menulis bahawa jumlah kematian dalam perang sempadan China-India tahun lalu jauh lebih tinggi daripada jumlah rasmi.

Qiu Ziming, dengan lebih dari 2.5 juta pengikut di Weibo, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, umum mahkamah di timur Nanjing pada Selasa.

Dia adalah orang pertama yang dipenjarakan di bawah peruntukan baharu undang-undang jenayah China yang melarang sebarang “fitnah para pejuang dan pahlawan.”

Setelah berdiam diri selama berbulan-bulan, tentera China pada Februari berkata empat askar terbunuh dalam pertempuran dengan tentera India di kawasan pertikaian Lembah Galwan pada Jun lalu.

Ini adalah konflik sempadan terburuk antara China dan India sejak beberapa dekad.

Mereka yang maut diangkat sebagai “pahlawan mempertahankan sempadan.”

Dalam satu hantaran media sosial, Qiu menyatakan jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada jumlah rasmi.

Dia turut berkata seorang komandan bertahan “kerana dia adalah pegawai tertinggi di sana” - komen yang menimbulkan kemarahan para pegawai.

Qiu telah “melanggar reputasi dan kehormatan pahlawan dan pejuang ... dan mengaku melakukan jenayah,” kata mahkamah.

Blogger berusia 38 tahun itu ditahan pada Februari dan sejak itu Weibo menyekat akaunnya yang dikenali sebagai “Crayon Ball.”

Sejak Februari, polis telah menahan sekurang-kurangnya enam blogger kerana didakwa mencemarkan nama baik askar yang mati melalui komen dalam talian, menunjukkan kepekaan politik mengenai konflik sempadan. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen