WHO guna huruf Greek untuk varian Covid-19


Varian Covid-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan stigma pandemik itu. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

VARIAN Covid-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan stigma pandemik itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan amalan mengenali varian koronavirus itu mengikut negara ia mula ditemui akan dihentikan.

Ketua Teknikal Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove berkata sistem baharu itu membabitkan varian yang membimbangkan terutama empat yang kini berleluasa, dan varian peringkat kedua kini sedang dikesan.

“Ia tidak akan menggantikan nama saintifik sedia ada, sebaliknya bertujuan memudahkan perbincangan umum.”

Di bawah sistem baharu itu, empat varian membimbangkan diberi nama baru, di mana Varian B.1.1.7 Britain dikenali sebagai Alpha; Varian Afrika Selatan B.1.351 dikenali sebagai Beta dan Varian P.1 Brazil dikenali sebagai Gamma.

Sementara itu, Varian B.1.617 India yang diasingkan kepada dua kategori, dengan the B.1.617.2 selaku varian membimbangkan, akan dikenali sebagai Delta manakala Varian B.1.617.1 dikenali sebagai Kappa.

Selain nama berkenaan, terdapat dua lagi nama saintifik bagi setiap mutasi manakala lokaliti penemuan turut digunakan bagi mengenal pasti varian sama.

Di Britain contohnya, apa yang disebut Varian Britain di negara lain, dikenali sebagai Varian Kent iaitu nama wilayah ia kali pertama ditemui di tenggara England.

Namun, rujukan B.1.1.7.2 masih terus digunakan dalam kalangan masyarakat saintifik kerana ia mengandung butiran mutasi varian itu.

WHO dalam satu kenyataan, berkata meskipun nama saintifik ada kelebihannya ia mungkin sukar diungkapkan atau diingati, sekali gus menjadi punca salah lapor.

WHO berusaha merungkai kekusutan itu selama beberapa bulan sebelum memperkenalkan identiti baharu bagi varian Covid-19 itu.

Terdapat 24 huruf Greek dan setakat ini, langkah seterusnya belum dipertimbangkan jika semua huruf terbabit habis digunakan.

Ini kerana huruf seperti Epsilon, Zeta, Eta, Theta dan Iota sudah digunakan untuk pelbagai varian virus atau bakteria lain. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen