WHO puji usaha kukuhkan pertubuhan


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pengalaman menghadapi pandemik Covid-19 dalam keadaan serba mencabar menjadi iktibar memeterai perjanjian negara ahli. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

AHLI Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setuju memperkukuhkan agensi global itu bagi menghadapi krisis kesihatan pada masa depan terutama dalam aspek kewangan.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pengalaman menghadapi pandemik Covid-19 dalam keadaan serba mencabar menjadi iktibar memeterai perjanjian itu.

“Banyak perincian langkah konkrit masih perlu diselesaikan, memandangkan ahli masih berdebat mengenai berapa banyak kuasa yang harus diserahkan kepada badan induk, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, resolusi yang diluluskan pada hari terakhir mesyuarat tahunan badan kesihatan PBB membabitkan 194 negara ahlinya adalah sesuatu yang ‘bersejarah’ dan harus dipuji.

“Dunia memerlukan WHO yang lebih kuat sebagai paksi bagi membina infrastruktur kesihatan global,” katanya.

Selepas hampir dua tahun wabak Covid-19 yang menjangkiti lebih 171 juta orang dan mengorbankan lebih 3.5 juta mangsa, negara anggota bersetuju memperkuatkan WHO.

Resolusi 14 halaman yang disahkan itu antara lain mengandungi mandat untuk menghilangkan ketidakpastian mengenai pembiayaan pertubuhan itu.

Negara ahli bertekad untuk memastikan pembiayaan anggaran program WHO yang mencukupi, anjal, lestari dan dapat diunjurkan.

Hanya 16% daripada anggaran perbelanjaan agensi pada masa ini disumbangkan daripada yuran keahlian biasa dan selebihnya adalah sumbangan sukarela yang banyak diperuntukkan negara berdasarkan projek tertentu.

Tedros berkata walaupun berada di tengah krisis, tahap pembiayaan rendah dan tidak menentu bermaksud perancangan program bergantung kepada pusingan kewangan yang semakin kurang dan tidak menentu.

Panel pakar mendapati kebanyakan negara dan institusi tidak bersedia menghadapi Covid-19 apabila kali pertama menghadapi pandemik sebesar ini. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen