Macron, Merkel dakwa AS, Denmark lakukan intipan


Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel desak AS dan Denmark memberikan penjelasan kenapa mereka lakukan intipan. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel desak Amerika Syarikat (AS) dan Denmark memberikan penjelasan kenapa mereka lakukan intipan.

Difahamkan tuntutan yang dibuat semalam berhubung dakwaan Washington melakukan intipan terhadap sekutu mereka di Eropah dengan bantuan Copenhagen.

Macron berkata perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali dalam kalangan negara sekutu, apatah lagi sekutu rapat seperti Eropah.

“Saya terikat kepada kepercayaan yang menyatukan Eropah dan AS, tidak perlu ada kesangsian antara kita.

“Itulah sebabnya kita minta penjelasan penuh, kami minta maklum balas rakan kami di Denmark dan AS dengan keterangan lengkap mengenai pendedahan ini.

“Kami menunggu jawapan mereka,” katanya selepas Sidang Kemuncak Perancis-Jerman secara maya antara Paris dan Berlin.

Merkel sependapat dengan Macron berhubung isu itu.

Beliau berkata keyakinannya terhadap kenyataan kerajaan Denmark terutama, Menteri Pertahanan Trine Bramsen, yang mengutuk perbuatan itu.

“Selain memastikan fakta sedia ada, ini permulaan yang baik bagi membina semula hubungan yang benar-benar berasaskan kepercayaan bersama,” katanya.

Menurut laporan penyiar awam Denmark, Danmarks Radio (DR) dan beberapa media Eropah kelmarin, Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS memintas perbualan kabel internet dasar laut Denmark antara 2012 hingga 2014.

Ia sebahagian proses pengintipan terhadap ahli politik utama di Jerman, Sweden, Norway dan Perancis.

NSA dipercayai berjaya mengakses mesej teks, panggilan telefon, dan trafik internet termasuk carian, perbualan serta khidmat penghantaran mesej.

Menurut DR, antara pemimpin yang diintip termasuk Merkel; bekas menteri luar Frank-Walter Steinmeier dan bekas pemimpin pembangkang, Peer Steinbruck. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen