Salam akhir paling duka buat keluarga mangsa Covid-19


Alfian Z.M. Tahir Hailey Chung Wee Kye Ravin Palanisamy

Ahli keluarga hanya dibenarkan melihat dari jarak jauh urusan pengebumian insan tersayang ketika wabak Covid-19 masih mengganas di dunia. – Gambar EPA, 2 Jun, 2021.

MENGUCAPKAN “selamat tinggal” kepada yang tercinta adalah perkara paling berat untuk dibuat tambahan ketika mereka berhadapan dengan maut, kata beberapa keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana Covid-19.

Mereka bersedia meluahkannya ketika ditemui The Malaysian Insight kerana mereka tidak mahu mangsa lain juga menjadi sekadar nombor statistik dalam senarai panjang kematian akibat Covid-19.

Angka kematian di Malaysia kini berjumlah 2,867 daripada 579,462 kes Covid-19. Dan setakat 7 Mei lalu, lebih 210 mangsa meninggal dunia mempunyai penyakit komorbiditi.

Keluarga-keluarga ini berkongsi detik terakhir mereka dengan orang tersayang, dengan harapan orang lain tidak akan merasai apa yang mereka lalui.

Liyana di Johor mengingat kembali bagaimana dia melambai kepada emaknya yang berusia 62 tahun melalui panggilan video ke Hospital Sungai Buloh, sambil mengingat itu mungkin panggilan terakhir dengan ibunya.

“Doktor memberitahu kami perlukan sokongan moral. Waktu ibu saya diintubasi, kami diminta membuat panggilan video supaya dia dapat bertahan,” kata wanita berusia 36 tahun itu.

“Memang emosional sebab tak dapat ada di sisinya tapi syukurlah doktor di hospital sangat membantu.

“Namun pada hari terakhirnya, ayah saya beritahu tidak akan ada lagi panggilan video. Kami mahu dia meninggal dunia dengan tenang. Kami semua bersetuju untuk tak buat panggilan video,” kata Liyana, menambah ibunya meninggal pada 24 Mei.

Ibu Liyana dimasukkan ke unit rawatan rapi selama seminggu di Hospital Sungai Buloh sebelum meninggal dunia. Ayah dan dua adiknya juga didapati positif namun mereka sudah pulih.

Katanya staf di Hospital Sungai Buloh membantu keluarganya melalui saat memeritkan ini.

“Hospital benarkan keluarga melihat upacara pengebumian, malah bagi kami pakaian kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk menghadiri pengebumian.

“Walaupun ibu saya meninggal sendirian, kami bersyukur dia mendapat ucap takziah yang betul. Dia berhak dapat,” kata Liyana, menambah orang ramai perlu tahu hospital melakukan sebaik mungkin.

Pengebumian dikendalikan pihak Kementerian Kesihatan, manakala ahli keluarga tidak dibenarkan menghampiri kerana perlu menjaga diri dari terkena sebarang ancaman Covid-19. – Gambar EPA, 2 Jun, 2021.

Sebuah keluarga lagi di Selangor kehilangan seorang ibu yang merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga tersebut, juga akibat Covid-19.

Seorang ahli keluarga yang dikenali sebagai Yi (bukan nama sebenar) memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak dapat bercakap dengan ibu kerana keadaannya bertambah teruk.

“Saya dan keluarga selalu tinggal di rumah, hanya kami bertiga, saya, adik perempuan dan ibu saya. Kami takut dijangkiti.

“Kami tinggal dekat dengan saudara-mara kami. Pada 29 April, ibu saudara kami yang sudah lama menghidap masalah kesihatan, tiba-tiba meninggal dunia. Sebaik saja dengar berita itu, kami bergegas kerana beliau rapat dengan ibu. Kami bantu persiapan pengebumiannya.

Yi berkata beberapa hari selepas pengebumian, kakaknya didapati positif tetapi ibu mereka yang berusia 59 tahun baik saja.

Beberapa hari kemudian barulah ibu Yi mula batuk sehingga menimbulkan rasa risau.

Ibu Yi positif. Yi mengasingkan diri di biliknya dan membiarkan semua bahagian lain rumah untuk ibu dan kakaknya.

Beberapa hari kemudian, ibu Yi mula mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke hospital. Beberapa hari kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana keadaannya semakin teruk.

“Selama berhari-hari kami asyik dengar berita buruk saja mengenai keadaan ibu saya. Kami hanya dapat bercakap dengannya melalui telefon tetapi dia tidak dapat bercakap sebab diberi ubat penenang.

“Pada 17 Mei jam 5 pagi, kami mendapat panggilan dari ICU untuk bersiap mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Dia meninggal dunia pada 7.30 pagi.

“Kali terakhir saya melihatnya pada 11 Mei. Tidak berada di sisinya pada waktu itu terasa sangat sukar.

“Sangat tragis betapa cepatnya semua ini berlaku. Baru dua minggu lalu, ibu dan saya sedang berbual. Sungguh menyedihkan bila dia tidak lagi bersama kami.”

Warga emas di Malaysia yang sudah divaksin. – Gambar EPA, 2 Jun, 2021.

Ancaman virus itu nyata

Sebuah keluarga lagi yang kehilangan bapa mereka turut mendesak rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan serius.

Seorang ahli keluarga ditemu bual The Malaysian Insight berkata beliau tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenai kematian bapanya kerana ia terlalu emosional.

Bagaimanapun beliau berkata orang ramai perlu lebih memberikan perhatian kepada nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Ada sebab kenapa mereka beritahu kita untuk duduk di rumah. Saya kehilangan seseorang yang sangat saya sayangi kerana virus ini.

“Ia sangat memeritkan. Anda tidak dapat memegang tangan mereka, tidak dapat menciumnya selamat tinggal. Anda hanya dapat melihat melalui panggilan video.

“Virus itu nyata, ancamannya juga nyata. Jika anda berpeluang diberi vaksin, ambillah,” katanya yang enggan mendedahkan nama. Katanya, bapanya diserang virus pada 20 April.

Bagi Safeena, dia akan selalu mengingati panggilan video terakhir dengan ayahnya di Hospital Sungai Buloh.

“Pada hari terakhirnya, ayah hanya sendirian. Dia bercakap seperti biasa tetapi kami tidak berani beritahu keadaannya serius.

“Kami bercakap dengannya seperti biasa tanpa menangis dengan mengharapkan keajaiban akan berlaku.

“Rasa bersalah akan menghantui kita selama-lamanya sebab kita selalu tidak berada dengannya sedangkan dia sentiasa bersama kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bapa Safeena yang berusia 64 tahun meninggal dunia pada 3 Februari.

Safeena, 40, menggesa rakyat Malaysia menjaga keselamatan diri.

“Dengan rendah hati saya mohon semua yang membaca ini, buat apa yang patut dibuat untuk kekal selamat. Mari tempuhi saat sukar ini bersama-sama. Jika anda tidak dapat buat, tolonglah, fikirlah tentang orang yang anda sayangi.

“Jangan tunggu sampai terlewat.” – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen