50 maut serangan terbaru di Congo


Sekurang-kurangnya 50 terbunuh dalam dua serangan terbaru di timur Republik Demokratik Congo yang sedang bergolak. – Gambar fail AFP, 1 Jun, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 50 terbunuh dalam dua serangan terbaru di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang sedang bergolak.

Seorang pegawai tempatan berkata militan Allied Democratic Front (ADF) bertanggungjawab atas serangan itu tetapi ada yang mendakwa ia mungkin dilakukan kumpulan etnik lain.

Kivu Security Tracker (KST) melaporkan 28 terbunuh di Boga dan 22 di Tchabi, kampung terletak kira-kira 10km di kawasan yang terkenal dengan serangan ADF dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.

Badan pemantau itu berkata jumlah kematian itu yang tertinggi dicatatkan dalam sehari sejak ia ditubuhkan pada 2017.

Tentera DRC memberikan angka kematian yang lebih tinggi iaitu 53 orang, selepas pertemuan pasukan keselamatan di Bunia.

Sementara itu, ahli Parlimen tempatan Gracien Iracan berkata 60 maut dalam serangan terbabit.

“Tujuh trak tiba untuk mengeluarkan mangsa, ini tragedi yang amat buruk dan mereka masih menemui mayat.

“Jadi, jumlah korban berkemungkinan besar akan bertambah, sementara ramai lagi yang cedera masih bersembunyi di dalam semak, semua orang melarikan diri ke sana,” katanya.

Sumber Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pula memaklumkan pasukan pengaman bertopi keledar biru Afrika Selatan dari pangkalan kecil misi pengaman MONUSCO di Tchabi berbalas tembakan dengan penyerang.

Seorang pemimpin masyarakat sivil tempatan mengaitkan serangan itu dengan ADF, sebuah kumpulan militan Islam Uganda yang melakukan beberapa pembunuhan beramai-ramai sejak 18 bulan lalu.

Kedua-dua kampung itu terletak di sempadan antara wilayah Kivu Utara dan Ituri di kawasan di mana ADF dipercayai giat bergerak. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen