Pemandu teksi, bas sekolah dapat RM500, umum Muhyiddin


Bantuan tunai khas RM500 itu adalah antara yang diumumkan oleh perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Pemerkasa+. – Gambar AFP, 31 Mei, 2021.

SEMUA pemandu teksi dan bas sekolah akan mendapat bantuan tunai khas RM500, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bagi mengurangkan beban mereka susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu bermula esok.

Bantuan sama juga diberi kepada pemandu perkhidmatan e-hailing dan kereta sewa, pemandu pelancong, dan pemandu bas persiaran, tambah perdana menteri.

“Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai,” katanya dalam perutusan khas bantuan PKP 3.0, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini.

Bantuan itu adalah antara yang diumumkan oleh Muhyiddin dalam pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).

Menurut Muhyiddin, bantuan Pemerkasa+ ini memberi manfaat kepada 17 ribu pemandu pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas sekolah, 4 ribu bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing.

Pada Mac lalu, kerajaan sebelum ini pernah memberi bantuan RM500 kepada kumpulan sama dalam pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai). – 31 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen