Putrajaya umum RM1 bilion perkukuh kesihatan awam


Noel Achariam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan sistem kesihatan awam tidak runtuh dan dapat beroperasi dengan berkesan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Mei, 2021.

PUTRAJAYA peruntuk RM1 bilion untuk kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan Covid-19, serta memperkukuhkan kesihatan awam negara, umum Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan sistem kesihatan awam tidak runtuh dan dapat beroperasi dengan berkesan.

Peruntukan itu diumumkan Muhyiddin ketika berucap pada pengumuman Pemerkasa Tambahan, yang disiarkan secara langsung malam ini.

“Peruntukan 450 juta ringgit bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan Covid-19, bukan sahaja di Hospital seliaan KKM tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga berkata kerajaan memperuntukkan RM550 juta bagi menampung keperluan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19 pelbagai agensi.

Keperluan itu antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan Covid-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak. 

“Ini juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS dan di peringkat negeri.”

Selain itu, tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada akan dilanjutkan sehingga tahun 2022, kata perdana menteri.

“Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak. 

“Saya juga telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) (Khairy Jamaluddin) untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan atau PICK,” kata Muhyiddin.

Pemberian dos pada Mei telahpun mencapai purata 80,000 dos sehari, tambahnya.

“Insha-Allah, menjelang akhir Jun nanti, kita mampu mencapai sasaran 150,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan.”

Berdasarkan unjuran itu, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang Disember dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober, jelasnya.

Muhyiddin dalam pada itu merayu agar rakyat yang sudah mendapat tempahan vaksin hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan. 

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.”

Bagi warga emas dan mereka yang tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV,  Oleh itu, aset-aset kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool telah digerakkan bagi tujuan tersebut

“Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, NGO dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini,” katanya. – 31 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen