SOP di pusat vaksinasi akan dipertingkat, kata Khairy


Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata semua PPV mega dan kecil mematuhi SOP yang ketat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Mei, 2021.

PROSEDUR operasi standard (SOP) di pusat pemberian vaksin (PPV) mega akan dipertingkatkan, kata Khairy Jamaluddin, selepas beberapa kejadian kesesakan orang ramai dibimbangi akan mencetus kluster baharu Covid-19.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata walaupun memahami kebimbangan itu, semua PPV sama ada besar atau kecil mematuhi SOP yang ketat.

“Ada kejadian beberapa hari lepas di mana PPV mega dibanjiri orang ramai dan saya sudah arahkan supaya SOP dipertingkatkan serta mengambil kira kawalan kesihatan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh bekas menteri Rafidah Aziz berkait pematuhan SOP di pusat pemberian vaksin  Covid-19.

Rafidah semalam dilapor berkata PPV sepatutnya diletakkan di setiap daerah dengan menggunakan dewan serba guna.

Tambah Khairy, beliau memahami kegusaran Rafidah itu, namun PPV mega mampu memberikan suntikan vaksin kepada seramai 8,000 hingga 10,000 orang setiap hari.

Selain PPV mega, kerajaan juga menggunakan strategi lain dalam usaha memberi vaksin Covid-19 kepada rakyat.

“Strateginya adalah untuk guna semua jenis PPV - besar, kecil, pandu lalu, mobile (bergerak),” katanya, menambah jumlah klinik juga ditingkatkan untuk mempercepatkan program imunisasi.

Semalam, Khairy umum lebih banyak PPV mega akan dibuka di sekitar Lembah Klang mulai 7 Jun. Tiga PPV mega akan dibuka di Selangor, manakala dua lagi di Kuala Lumpur.– 31 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen