.jpg)
KERAJAAN telah mengumumkan perintah sekatan pergerakan yang ketat demi kelangsungan kehidupan rakyat Malaysia.
Pastinya ia sangat sukar terutama sekali kepada banyak orang. Saya dapat rasakan kesukaran mereka yang tinggal di rumah pangsa yang sempit dengan jumlah ahli keluarga yang ramai. Apatah lagi kesukaran peniaga kecil, penjaja dan semua mereka yang bergaji hari.
Tetapi inilah pengorbanan yang harus kita bayar ke arah ‘a better normal’ Malaysia, Insya-Allah.
Mewujudkan ‘a better normal’ ini mesti menjadi misi kolektif. Justeru, kerajaan wajar mempertimbangkan mobilisasi kepakaran, idea dan kudrat dari seluruh segmen masyarakat Malaysia.
Kita sangat menghargai pengorbanan luar biasa para pasukan perubatan negara. Namun krisis ini telah menjadi ancaman keselamatan yang lebih besar dari krisis kesihatan.
Lalu marilah kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mencari idea, strategi, pendekatan dan pengurusan paling baik, ampuh dan strategik untuk memulihkan negara.
Bukalah ruang seluas-luasnya untuk cendekiawan terbaik, ahi perniagaan paling berjaya, teknokrat paling dihormati dan sesiapa jua yang mampu membantu.
Lebih banyak saintis kita untuk melakukan lebih banyak genome sequencing. Lebih ramai ahli epidemiologi, perangkawan dan ahli matematik kita menilai pelbagai data.
Kita ajak ahli perniagaan kita mengeluarkan lebih banyak ‘testing kit’ dengan murah. Kita bawa teknokrat kita menguruskan vaksinasi agar lebih ramai pekerja kesihatan boleh fokus kepada kerja klinikal.
Kita gemblengkan pelakon, penyanyi dan social influencer negara untuk melancarkan kempen yakin vaksinasi. Malah berikan kepercayaan kepada pasukan tentera untuk membantu pelbagai ikhtiar vaksinasi dan saringan kita.
Kepada semua parti politik, gunakan segala jentera parti kita untuk membawa orang tua dan kurang upaya ke pusat vaksinasi, mendaftar vaksinasi atau menyalurkan apa jua bantuan yang termampu.
Kita memerlukan satu sama lain dalam saat genting ini. Ketepikan segala birokrasi dan paculah pelan pemulihan negara ini secara inklusif.
Ini adalah momen penting. Bukan sekadar ‘kita jaga kita’ tetapi juga ‘bantu sesama kita’. – 31 Mei, 2021.
* Mohamed Khaled Nordin, naib presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen