Pelakon Tarzan Joe Lara antara 7 dipercayai maut nahas pesawat AS


Lara memegang watak Tarzan dalam filem televisyen 1989 "Tarzan in Manhattan." Beliau kemudian membintangi siri televisyen "Tarzan: The Epic Adventures," yang ditayangkan dari 1996 hingga 1997. – Gambar Facebook, 31 Mei, 2021.

TUJUH penumpang dalam pesawat, termasuk pelakon Tarzan Joe Lara dan isteri, dianggap mati setelah terhempas di sebuah tasik berhampiran bandar Nashville di Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa.

Jet perniagaan kecil itu terhempas sekitar jam 11.00 pagi waktu tempatan pada Sabtu, sejurus berlepas dari Smyrna, lapangan terbang Tennessee menuju Palm Beach, Florida, kata Rutherford County Fire & Rescue (RCFR) di Facebook.

Pesawat itu terjatuh ke Percy Priest Lake, kira-kira 19 kilometer di selatan Nashville.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengesahkan tujuh orang telah menaiki pesawat, lapor CNN.

Menjelang Sabtu malam, operasi beralih dari usaha mencari dan menyelamat ke usaha pemulihan, kata komander insiden RCFR Kapten Joshua Sanders pada sidang media.

“Kami sudah tidak berusaha mencari mangsa hidup lagi pada ketika ini, jadi kami kini tumpu pada pemulihan sebanyak mungkin dari lokasi kemalangan,” katanya

Pada petang Ahad, RCFR berkata di Facebook operasi pemulihan telah menemui “beberapa komponen pesawat dan juga mayat manusia”.

Operasi berterusan sehingga malam dan disambung semula pada Isnin pagi, tulis RCFR.

Lara memegang watak Tarzan dalam filem televisyen 1989 “Tarzan in Manhattan.” Beliau kemudian membintangi siri televisyen “Tarzan: The Epic Adventures,” yang ditayangkan dari 1996 hingga 1997.

Isterinya Gwen Shamblin Lara, adalah ketua kumpulan penurunan berat badan Kristian bernama Weigh Down Ministries. Beliau mengasaskan kumpulan itu pada 1986, dan kemudian pada 1999 mendirikan Gereja Fellowship Remnant di Brentwood, Tennessee.

Beliau meninggalkan dua anak dari perkahwinan sebelumnya, menurut satu kenyataan disiarkan di laman web gereja. – AFP, 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen