25 maut di India minum arak beracun


Media tempatan melaporkan bahawa arak itu dibeli pada Khamis dari sebuah kedai yang diusahakan dua beradik. – Gambar EPA, 30 Mei, 2021.

SEKURANG-kurangnya 25 orang maut selepas minum alkohol tercemar di utara India, kata polis.

Polis menahan 10 orang yang menjual arak itu di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India.

“Setakat ini 25 orang disahkan meninggal dunia dan beberapa lagi menjalani rawatan di hospital,” kata jurucakap polis, Ajab Singh.

Media tempatan melaporkan bahawa arak itu dibeli pada Khamis dari sebuah kedai yang diusahakan dua beradik.

Kedai arak di negeri itu tidak dibenarkan beroperasi di bawah sekatan pergerakan ekoran pandemik Covid-19.

Kira-kira 160,000 meninggal dunia akibat wabak itu sejak 1 April lalu.

Namun jumlah kes mulai turun dan pihak berkuasa Uttar Pradesh membenarkan penjualan arak bermula 1 Mei dalam tempoh terhad.

Kes kematian akibat arak tercemar sering berlaku di India kerana arak murah dibuat menggunakan bahan yang tidak berkualiti.

Tahun lalu, 98 orang maut di negeri Punjab selepas minum arak beracun.

Pada 2019, kira-kira 150 orang maut di negeri Assam akibat yang sama. – AFP, 30 Mei, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen