Rakyat Malaysia tidak boleh pilih vaksin sendiri, kata Khairy


Elill Easwaran

Menteri penyelarasan program imunisasi Covid-19 kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan menerima bekalan tambahn vaksin daripada tiga syarikat pengeluar dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi mempercepatkan program itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Mei, 2021.

RAKYAT Malaysia tidak akan diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 kerana keutamaan sekarang ini adalah untuk mempercepatkan proses vaksinasi , kata Khairy Jamaluddin.

Kenyataan beliau itu sekali gus bercanggah dengan cadangan awal kerajaan untuk membenarkan rakyat Malaysia memilih jenis vaksin masing-masing.

Menteri penyelarasan program imunisasi Covid-19 kebangsaan itu berkata tindakan memberikan pilihan sedemikian akan melambatkan proses vaksinasi.

“Pelan awal adalah untuk memberi orang awam pilihan memilih vaksin masing-masing tetapi keutamaan pada masa ini untuk meningkatkan dan mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya selepas melawatan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini.

Awal minggu ini Khairy mengumumkan kerajaan bercadang untuk memberi pilihan kepada rakyat Malaysia memilih vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Malaysia buat masa ini menggunakan vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dalam program imunisasi kebangsaan.

Khairy juga sebelum ini berkata Malaysia akan menerima bekalan tambahn vaksin daripada tiga syarikat pengeluar dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi mempercepatkan program itu.

Beliau berkata bekalan tambahan membolehkan pusat vaksinasi menampung sehingga 150,000 dos sehari pada Jun. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen