MENTERI kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah petang ini, dijangka untuk mengumumkan langkah-langkah dalam sekatan pergerakan berkuat kuasa Selasa ini.
Sidang media itu akan disiarkan secara langsung pada 5 petang melalui televisyen di saluran Astro 502, myFreeview 121, Unifi TV 631, serta platform Facebook dan YouTube Bernama TV.
Pejabat Perdana Menteri kelmarin mengumumkan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara untuk tempoh 14 hari antara 1 hingga 14 Jun.
Ismail dan Dr Noor Hisham mengadakan sidang media bersama sebelum ini pada 22 Mei lalu untuk mengumumkan peraturan lebih ketat perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika kes Covid-19 pada masa itu mencecah lebih 6,000 sehari.
Semalam, buat pertama kali kes baharu harian Covid-19 menembusi paras lebih 9,000, dengan rekod juga 98 kematian dalam masa 24 jam dan 844 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 430 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sekatan penuh pergerakan 14 hari itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada petang Jumaat.
“Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Sekatan penuh pergerakan itu adalah bagi fasa pertama, yang diputuskan ketika Malaysia merekodkan jangkitan harian tertinggi pada masa itu, iaitu 8,290 kes.
MKN juga memutuskan sekatan itu akan dilonggarkan secara berperingkat pada fasa kedua dan ketiga, yang akan membuka beberapa sektor ekonomi dan kegiatan sosial.
“Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.
“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19,” kata Pejabat Perdana Menteri.– 30 Mei, 2021.
Komen