Karya KL Biennale dirampas, polis ambil keterangan artis


Mohd Farhan Darwis

Jurucakap Pusat Sekitar Seni, Aisyah Baharuddin mengesahkan memberi keterangan kepada polis berkaitan karya mereka bertajuk "Under Construction" yang didakwa dirampas tahun lepas pada acara seni berprestij itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2018.

JURUCAKAP artis yang menggelarkan diri mereka Pusat Sekitar Seni (PSS) Aisyah Baharuddin hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan susulan isu karya instalasi bertajuk “Under Construction” yang didakwa dirampas tahun lalu.

Aisyah berkata pihak polis mengesahkan mereka menerima laporan daripada Balai Seni Negara (BSN) berkenaan dakwaan beberapa karya seni dirampas kerana mengandungi  “unsur komunisme”.

“Polis merakamkan kenyataan kami dan kami menerangkan tentang kronologi yang berlaku ketika itu,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju malam tadi.

Aisyah berkata, Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Zulatul Haryati Zulkefli, memaklumkan kepadanya pihak polis akan memanggilnya semula bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Mereka dapat laporan daripada BSN. Mereka akan sahkan dengan Bukit Aman. Kalau Bukit Aman tak ambil karya kita boleh ‘clearkan’ karya kita,” katanya.

PSS dan Population Project, mewakili lima artis Malaysia dan dua Indonesia sekumpulan artis gabungan Malaysia dan Indonesia yang menarik diri daripada pameran seni Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017, sehari sebelum pembukaan rasminya.

Mereka mendakwa beberapa karya mereka dikeluarkan daripada pameran itu.

Aisyah berkata, pihaknya kini akan menghantar surat kepada BSN berhubung status karya mereka.

“Kita nak tunggu daripada BSN, kita akan hantar surat untuk tahu status karya kita,” katanya.

Ketua Pengarah BSN pada November lalu menafikan terdapat karya seni yang dipamerkan di Kuala Lumpur Biennale 2017 dirampas pihak berkuasa.

Beliau sebaliknya mendakwa, kontroversi sengaja ditimbulkan pihak tertentu demi mencari publisiti.

Pameran Biennale Kuala Lumpur 2017, yang mengangkat tema “Belas”, pertama kali dianjurkan di Malaysia menghimpunkan 114 artis yang meliputi 103 artis daripada Malaysia. – 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen