Kanada lanjut tarikh luput vaksin AstraZeneca 


Kanada meluluskan lanjutan tarikh luput vaksin berkenaan dari 31 Mei kepada 1 Julai yang disokong bukti saintifik.– Gambar EPA, 30 Mei, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan Kanada mengumumkan lanjutan tarikh luput hampir 50,000 dos vaksin AstraZeneca selama sebulan.

Health Canada dalam satu kenyataan berkata ia meluluskan lanjutan dari 31 Mei kepada 1 Julai yang disokong bukti saintifik.

“Perubahan ini akan memastikan wilayah dan daerah boleh menggunakan stokk sedia ada dan memberikan rakyat Kanada akses kepada dos vaksin yang diperlukan,” kata agensi itu.

Jurucakap Health Canada berkata setakat 22 Mei, terdapat 49,000 dos vaksin AstraZeneca di negara itu mempunyai tarikh luput pada 31 Mei. Menurut laporan CBC sebahagian besar daripadanya adalah di wilayah Ontario.

Pihak berkuasa kesihatan Kanada sebelum ini meluluskan tempoh enam bulan untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Namun menurut mereka, pihaknya menerima makumat daripada syarikat pada 27 Mei serta data kestabilan produk dan matematikal menunjukkan dua lot vaksin berkenaan selamat dan berkesan digunakan dalam tempoh tambahan sebulan.

Beberapa wilayah di negara itu mengumumkan keputusan untuk menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca untuk penerima dos pertama, berikutan masalah darah tersumbat yang jarang berlaku.

Namun bagi yang sudah menerima dos pertama AstraZeneca bleh meneruskan suntikan dos kedua mereka.

Hanya 55% daripada 38 juta enduduk Kanada menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 5% menerima dua dos.

Selain AstraZeneca, vaksin Pfizer, Moderna dan Johnson&Johnsin diluluskan untuk kegunaan di Kanada. – AFP, 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen