INDONESIA membebaskan sebuah kapal tangki Iran dan sebuah kapal Panama yang ditahan sejak awal tahun lalu kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.
Selepas menjalani prosedur perundangan, kapal tangki MT Horse dan kapal MT Freya meninggalkan Indonesia semalam, kata jurucakap Agensi Keselamatan Maritim Indonesia.
Pada Selasa lalu, kapten kedua-dua kapal itu didapati bersalah kerana memasuki perairan Indonesia tanpa permit.
Kapten MT Horse Mehdi Monghasemjahromi dan kapten MT Freya Chen Yo Qun dikenakan hukuman penjara selama setahun dengan dua tahun tempoh pemantauan.
Mahkamah turut mengarahkan Chen membayar denda dua bilion rupiah kerana membuang minyak secara haram di perairan Indonesia.
Kedua-dua kapten itu dibebaskan dari tahanan dan dipercayai meninggalkan negara itu bersama krew walaupun telah dijatuhi hukuman.
Pada Januari lalu, kedua-dua kapal itu dikesan di Kalimantan dan ditahan selepas gagal memberi maklum balas apabila dihubungi. – AFP, 29 Mei, 2021.
Komen