Kos bersalin bagi pesakit Covid-19


Bernard Saw

Ibu yang bakal bersalin dan disahkan positif Covid-19 hanya dianggap tidak menjangkiti orang lain dua atau tiga minggu selepas pulih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

KOS bersalin di hospital swasta lebih tinggi sekiranya ibu dijangkiti Covid-19 berikutan pelaksanaan langkah pencegahan seperti pengasingan dan peralatan penggunaan perlindungan peribadi (PPE), kata pakar obstetrik dan ginekologi.

Pesakit mungkin terkejut dengan bil mereka dan dimaklumkan mengenainya sebelum bersalin, tambah mereka.

Pakar ginekologi yang bertugas di sebuah hospital Lembah Klang berkata hospital swasta masih menerima ibu yang dijangkiti Covid-19 untuk bersalin.

“Ia bergantung kepada kesanggupan pesakit untuk menerima rawatan di hospital swasta, kerana kosnya lebih tinggi.”

Kosnya boleh mencecah antara RM20,000 hingga RM30,000 selain kos sedia ada seperti pembedahan bersalin yang boleh mencecah sehingga RM15,000 di hospital swasta.

Pakar obstetrik dan ginekologi dari sebuah hospital swasta di Pulau Pinang Dr Low Kah Pin berkata ibu yang disahkan positif Covid-19 biasanya dipindahkan ke hospital kerajaan, walaupun mereka sudah berada di hospital swasta.

Rawatan akan diberikan di hospital swasta hanya apabila hospital kerajaan tidak mampu menerima mereka.

Dr Low berkata ibu yang bakal bersalin dan disahkan positif Covid-19 hanya dianggap tidak menjangkiti orang lain dua atau tiga minggu selepas pulih.

Namun begitu, ibu yang sembuh dari Covid-19 sebelum bersalin masih dirawat dengan teliti dan diasingkan.

“Doktor dan jururawat yang mengendalikan proses kelahiran akan memakai PPE dan menjalankan proses bersalin di dewan bedah tekanan negatif,” kata Dr Low.

Bilik tekanan negatif dihospital digunakan apabila ada keperluan untuk menghalang zarah dan bahan cemar udara di dalam bilik berkenaan, seperti bilik pengasingan, bagi mengelakkan jangkitan menular ke kawasan luar bilik.

Bayi kepada ibu yang sudah sembuh ketika bersalin akan diasingkan selama tiga hari sebelum dibenarkan discaj, tambah Dr Low.

Bayi berkenaan akan disaring bagi memastikan tidak dijangkiti Covid-19.

Pilihan untuk pembedahan ‘Caesarean’

Dr Low berkata kelahiran menerusi pembedahan caesarean atau C-section merupakan pilihan terbaik bagi ibu yang positif Covid-19 bagi memastikan bayi yang dilahirkan tidak dijangkiti.

Bayi di dalam rahim tidak akan dijangkiti, kecuali placentanya tidak normal.

Kelahiran secara normal memerlukan ibu menarik dan menghembus nafas dengan kerap ketika meneran, manakala pembedahan C-section akan mengehadkan pelepasan nafas yang mengandungi virus Covid-19.

“Virus berada dalam titisan cecair dan boleh merebak melalui udara dan mungkin akan menjangkiti kakitangan perubatan, suami dan bayi. Justeri kelahiran secara normal adalah tidak digalakkkan,” kata Dr Low.– 30 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen