PERSIDANGAN Kerjasama dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) China-Asean berlangsung di Jinan, China pada Jumaat.
Persidangan itu memberi fokus kepada peluang dan prospek kerjasama PKS kedua-dua pihak susulan penandatanganan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Selain itu, sebanyak 19 perjanjian kerjasama membabitkan program bernilai RMB27 bilion (RM17.5 bilion) turut dimeterai.
Persidangan yang diadakan di Shandong itu disertai kira-kira 1,300 syarikat di wilayah itu dan negara Asean secara fizikal dan maya.
Duta Malaysia ke China, Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, dagangan Malaysia dengan Shandong meningkat 40 peratus pada tahun lepas.
Beliau berkata PKS memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi serantau.
“Oleh itu, perbincangan mengenai usaha menggalakkan pembangunan PKS pada era pasca pandemik amat bermakna,” katanya.
Duta Laos ke China, Khamphao Ernthavanh pula berpendapat kedua-dua negara boleh meneroka kerjasama yang lebih banyak dalam pelbagai bidang.
Syarikat China dialu-alukan membuat pelaburan dalam industri pertanian, pelancongan dan infrastruktur di Laos, katanya. – Bernama, 29 Mei, 2021.
Komen