Program vaksinasi perlu agresif


SEBANYAK 8,290 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam. Bukan lagi melepasi garis merah, tetapi sudah berada dalam zon merah.

Selagi kerajaan tidak laksana program vaksinasi yang lebih agresif, keselamatan rakyat akan terus terancam. Program yang ada sekarang tidak mampu membendung Covid-19 yang sedang merebak dengan sangat cepat.

Tidak boleh mengharapkan kepada rakyat semata-mata untuk mendapatkan vaksin, sebaliknya kerajaan perlu agresif menggerakkan semua kemudahan dan aset untuk turun memberikan vaksin kepada rakyat.

Negara lain telah melakukannya. Amerika Syarikat telah melaksanakan vaknisasi pandu lalu yang mampu memberi 10 ribu suntikan sehari untuk satu daerah komuniti. 

Rusia menggerakkan pasukan keselamatan mendatangi rumah ke rumah untuk suntikan vaksin, manakala United Kingdom pula menggerakkan ‘mobile team’ menggunakan bas ke lokasi awam untuk melaksana program suntikan vaksin dan banyak lagi usaha agresif seumpamanya.

Tidak kira apa nama program – ‘mobile team’, vaksinasi pandu lalu atau mobilisasi pasukan keselamatan—kerajaan perlu mengambil pendekatan yang agresif. 

Sekiranya masih kekal dengan pendekatan asal, usaha membendung Covid-19 akan gagal kerana penularan sudah eksponensial atau berganda.

Lebih ramai akan maut bukan kerana jangkitan Covid-19 tetapi gagal melaksanakan pendekatan agresif pemberian vaksin kepada rakyat.

Diharap pihak berkuasa bangkit, rakyat sedang terancam! – 29 Mei, 2021.  

* Ir Hayatul Kamil, ketua Amanah Bandar Tun Razak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen