.jpg)
AHLI Parlimen Pengerang merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said telah sekali lagi bersuara berkenaan keperluan mendesak untuk Parlimen Malaysia dibuka dan bersidang.
Malah, pelbagai saranan telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa Parlimen boleh dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baharu.
Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas perdana menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan.
Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang. Saya bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan yang beliau telah kemukakan.
Negara sedang berhadapan dengan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing, dalam skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini. Tidak wujud tanda-tanda bahawa keadaan akan pulih dalam masa terdekat.
Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang.
Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi. Tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko.
Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat. Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi.
Saya percaya semua ahli Parlimen dapat memberikan komitmen dan saranan yang baik ke arah membantu pengurusan krisis ini secara bersama dengan pendekatan yang lebih baik. – 28 Mei, 2021.
* Mohamed Khaled Nordin, naib presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen