Mercy Malaysia bantu beri vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah


PERSATUAN Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) akan menggerakkan sukarelawannya bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah.

Usaha itu akan menumpu kepada individu yang terlantar di rumah, orang kelainan upaya (OKU) dan yang mengalami masalah kesihatan, yang menghalang mereka mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), menurut persatuan itu dalam satu kenyataan.

Fasa pertama program itu akan membabitkan 20 sukarelawan Mercy Malaysia, yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan.

“Program outreach vaksin ini akan berjalan di seluruh Malaysia dengan fasa pertama tertumpu di Kuala Lumpur dan Selangor,” kata Pengurus Besar Operasi Program Mercy Malaysia Said Alhudzari Ibrahim.

Said Alhudzari berkata Mercy Malaysia antara empat badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam program pemberian vaksin di bawah kendalian Bahagian Pembagunan Kesihatan Keluarga KKM. Tiga NGO lain adalah Bulan Sabit Malaysia, Saint John dan Match Hub.

Setakat ini, Mercy Malaysia membantu menyediakan kelengkapan peralatan di PPV Muhibbah di Bukit Jalil, selain menempatkan sukarelawan ke PPV di Sabah dan Melaka.

“Kita akan menyokong KKM melaksanakan PPV bergerak untuk menyampaikan vaksin kepada golongan sasaran,” kata Said Alhudzari. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen