SATU letupan besar-besaran telah menggegarkan sebuah depot senjata tentera Syria di bahagian timur wilayah Latakia pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah kumpulan pemantau.
Menurut Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, letupan yang menggegarkan depot senjata di pekan Slinfah itu telah meragut nyawa dan mencederakan anggota tentera yang belum dipastikan jumlahnya.
Kumpulan pemantau yang berpangkalan di United Kingdom itu berkata letupan tersebut telah menyebabkan kerugian harta benda yang besar. Bagaimanapun, punca letupan belum dapat dipastikan.
Sementara itu, aktivis pro-kerajaan berkata letupan tersebut berlaku di sebuah depot senjata lama dan menyebabkan beberapa orang cedera namun tiada kemalangan jiwa.
Mereka turut menolak kemungkinan berlaku sebarang serangan pengganas di kawasan itu.
Latakia, yang merupakan kampung halaman Presiden Bashar al-Assad, kembali menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan serangan dron yang dilancarkan oleh pemberontak ke atas pangkalan udara kendalian Rusia iaitu Hmeimim, yang terletak di pinggir Latakia.
Pangkalan itu, yang mempunyai sebuah pusat perintah bagi angkatan tentera Rusia di Syria, telah menjadi sasaran serangan berulang sejak kebelakangan ini.
Serangan pertama berlaku pada awal bulan ini ketika peluru mortar terkena pangkalan itu dan merosakkan beberapa pesawat pejuang. – Bernama, 10 Januari, 2018.
Komen