SPRM tahan Tajuddin, siasatan salah guna kuasa


Kalidevi Mogan Kumarappa Alfian Z.M. Tahir

SPRM tahan Tajuddin Abdul Rahman semalam untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa di Prasarana Malaysia Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

AGENSI anti rasuah menahan Tajuddin Abdul Rahman semalam untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa di Prasarana Malaysia Berhad, kata sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Pasir Salak itu ditahan semasa hadir untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa yang didakwa dilakukan semasa memegang jawatan pengerusi bukan eksekutif Prasarana.

“Beliau dipercayai melantik ahli keluarganya untuk satu jawatan di Prasarana.

“Disebabkan itu beliau dipanggil memberi keterangan semalam sebelum ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Namun selepas itu beliau dibebaskan dengan jaminan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Perkembangan ini menyusul tindakan Putrajaya menamatkan perkhidmatan Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana kelmarin.

Prasarana ialah syarikat milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan yang mengendalikan pengurusan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia.

Sumber menjelaskan Tajuddin disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Awal bulan ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sudah melengkapkan siasatan berhubung isu dakwaan salah guna kuasa dalam Prasarana melibatkan seorang individu berkedudukan tinggi yang tidak dinamakan.

Katanya, kertas siasatan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada pertengahan April lalu untuk arahan lanjut.

Pada awal Januari, SPRM dilapor datang ke pejabat Prasarana di Kuala Lumpur untuk mendapatkan beberapa dokumen susulan laporan media yang mendakwa ada salah guna kuasa membabitkan Tajuddin.

Tajuddin dipecat daripada jawatannya di Prasarana pada Rabu, hampir 48 jam selepas dua tren transit aliran ringan (LRT) bertembung di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Pemecatannya dibuat ketika ada desakan kuat daripada orang ramai untuk beliau diberhentikan selepas menunjukkan sikap yang menjengkelkan semasa sidang media mengenai kemalangan dua LRT.

Semalam, Tajuddin juga dipanggil polis untuk diambil keterangan kerana melanggar peraturan pencegahan Covid-19 setelah tidak memakai pelitup muka semasa sidang media tersebut.

Tajuddin dilantik menerajui Prasarana pada Mei tahun lepas, tidak lama selepas percaturan politik yang mengangkat kerajaan PN ke Putrajaya. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen