Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlu proaktif


APABILA Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersetuju menggubal ordinan yang memperuntukkan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, bukannya Jemaah Menteri mahupun perdana menteri untuk menilai kewujudan elemen darurat besar di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, itu mencerminkan sikap yang tidak berpihak serta ketelusan baginda dalam mengimbangi percaturan politik kepartian masa kini.

Justeru, jawatankuasa khas bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan wakil-wakil parti politik perlu berperanan aktif, bukan setakat menerima laporan daripada pihak kerajaan. 

Rakyat yang disogok dengan pelbagai maklumat dalam media sosial pastinya tidak mudah untuk membezakan yang mana kebenaran, dan sebaliknya.

Dalam keadaan yang semakin mencambahkan polemik dalam masyarakat sudah pasti rakyat ingin mendengar perkembangan di dalam negara daripada mulut jawatankuasa khas bebas.

Sebagai sebuah jawatankuasa bebas yang masih belum tercalar kewibawaannya, kewujudannya diharapkan boleh meneliti pelaksanaan peruntukan ordinan serta keperluan-keperluan lain untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara dengan lebih berkesan. 

Setidak-tidaknya cadangan, ulasan dan teguran jawatankuasa khas bebas dapat mengekalkan tadbir urus yang baik dalam pengurusan Kerajaan sepanjang tempoh darurat. 

Rakyat tidak sewajarnya dibiarkan bersangka buruk terhadap polisi dan tindak tanduk kerajaan dek pelbagai dakwaan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak. 

Kesan daripada kekurangan maklumat tentang usaha dan jawapan kepada pelbagai isu berbangkit, turut mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong yang dijadikan sasaran fitnah, cercaan dan tohmahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.  

Tegasnya, jawatankuasa khas bebas perlulah  proaktif untuk membantu Kerajaan menilai keperluan semasa di samping  menjawab isu-isu kewajaran tempoh darurat dikekalkan atau sebaliknya. 

Jika fungsi sedemikian belum dimasukkan dalam terma rujukan maka sudah tiba fungsi itu diadakan memandangkan rakyat semakin gelisah. Rakyat semakin gelisah kerana kes jangkitan harian semakin meningkat meskipun ordinan darurat sudah berkuatkuasa.

Hari ini rakyat semakin sensitif dan membandingkan langkah-langkah pengawalan dan penvaksinan yang berlaku di seluruh dunia seperti dipamerkan di kaca TV juga media sosial.

Ringkasnya, jawatankuasa khas bebas perlu proaktif agar kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam tempoh darurat tidak terjejas untuk membolehkan kepimpinan negara menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi. 

Rakyat tidak patut mempunyai persepsi bahawa jawatankuasa khas bebas akan hanya menghadap Yang di-Pertuan Agong pada penghujung bulan Julai, setelah ahlinya dilantik pada 9 Februari, untuk menyampaikan nasihat. – 28 Mei, 2021. 

* Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen