Warga China minta Rusia pulang anak lahir dari ibu tumpang


Sekumpulan ibu bapa China menuntut anak-anak yang dilahirkan di Rusia melalui ibu tumpang dikembalikan semula kepada mereka. – Gambar AFP, 28 Mei, 2021.

SEKUMPULAN ibu bapa China mengemukakan tuntutan di sebuah mahkamah di bandar Krasnoyarsk di Rusia, menuntut anak-anak yang dilahirkan di Rusia melalui ibu tumpang dikembalikan, kata peguam Igor Trunov kepada Sputnik pada Khamis.

“Hari ini (Khamis), demi kepentingan ibu bapa genetik Cina, 14 tuntutan pertama telah diserahkan ke mahkamah daerah Krasnoyarsk Tengah untuk anak-anak kepada keluarga kandung itu dikembalikan,” kata peguam itu.

Trunov mengatakan ujian DNA telah mengesahkan hubungan anak-anak itu dengan ibu bapa kandung mereka pada 99.9999 peratus.

Peguam itu mendedahkan beliau mewakili kepentingan 20 keluarga Cina, yang menggunakan program ibu tumpang di Rusia. Namun, mereka dihalang membawa anak mereka ke China kerana penularan pandemik Covid-19.

Jawatankuasa siasatan Rusia mengatakan ia sebagai pemerdagangan kanak-kanak, dengan menyatakan anak-anak itu dilahirkan oleh warga Kazakhstan yang menerima bayaran perkhidmatan sebanyak satu juta rubel (AS$13,620).

Peguam mendakwa bahawa teknologi ekstrakorporeal adalah sah di Rusia, manakala membayar perkhidmatan perubatan tidak dianggap sebagai pemerdagangan manusia. – Bernama, 28 Mei, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen