Penduduk KL akur arahan PKPD


Alfian Z.M. Tahir

Kg Batu Muda Tambahan di Kuala Lumpur diisytihar sebagai kawasan titik panas Covid-19 dan dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 23 Mei. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Mei, 2021.

KAWAT dawai, anggota tentera dan polis bersenjata kini pandangan biasa di pintu masuk ke Kg Batu Muda Tambahan di Kuala Lumpur, kawasan kelas pertengahan di ibu kota.

Semua itu akan berada di situ hingga 5 Jun, susulan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan kampung itu sebagai kawasan titik panas Covid-19 dan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 23 Mei.

Pihak berkuasa kesihatan pada awal minggu ini mengesan 76 kes positif Covid-19 dalam kalangan 800 penduduk di 119 rumah di kawasan itu.

Penduduk memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak terkejut kawasan berkenaan dikenakan PKPD kerana kes baharu jangkitan melonjak di situ sejak beberapa minggu lalu.

Apatah lagi, kata mereka kawasan itu menjadi zon merah sejak sekain lama dan dikelilingi dengan kawasan yang juga dikategorikan sebagai zon merah. Mereka kini hanya mampu berdoa supaya PKPD tidak dilanjutkan lagi.

Pesara, Shahrudin Ahmad berkata tidak ada apa yang dapat beliau sekeluarga lakukan pada masa ini kecuali duduk di rumah, dan mereka sedar betapa seriusnya situasi sekarang selepas lapan ahli keluarganya dijangkiti virus itu.

Beliau berkata bapanya meninggal dunia akibat Covid-19, tetapi pada masa sama beliau bersyukur kerana ahli keluarga yang lain semakin sihat.

Shahrudin, 61, baru saja pulang ke rumah selepas menjalani kuarantin di MAEPS selepas dijangkitik Covid-19, ketika kawasan rumahnya dikenakan PKPD.

“Saya baru saja sembut tetapi ahli keluarga saya masih dalam keadaan terkejut. Bagaimana kami semua boleh terkena jangkitan virus ini masih lagi misteri.

“Bapa saya tidak dapat diselamatkan. Isteri, anak dan cucu saya semuanya positif,” katanya.

Shahrudin berkata pada masa ini penduduk diberikan bekalan makanan oleh agensi berkenaan.

“Mereka beri kami bekalan dua hari lalu. Beras, gula, teh, kopi dan beberapa bahan asas makanan yang lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk memberitahu The Malaysian Insight beliau dan keluarganya berharap seorang saudara rapat mereka akan pulih daripada virus itu.

“Salah seorang saudara rapat kami dalam keadaan kritikal dan kini di unit rawatan rapi (ICU). Kami harap dia sembuh. Tidak ada apa yang hendak dirungutkan tentang PKPD atau pihak berkuasa,” katanya yang enggan dinamakan.

Katanya, majoriti penduduk faham mengapa PKPD terpaksa dikuatkuasakan di kawasan itu dan tidak ada rungutan tentang arahan itu.

“Keadaan sangat teruk dan kebanyakan kami takut. Kami sekarang berharap PKPD akan dapat menurunkan angka jangkitan dan keadaan akan bertambah pulih,” katanya.

Antara garis panduan ketat di bawah PKPD ialah penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu, dan orang luar tidak boleh masuk.

Penduduk tidak dibenarkan bergerak bebas di kawasan perumahan itu. Pemantauan dan kawalan dikuatkuasakan oleh polis dan tentera.

Mereka yang bekerja tidak dibenarkan keluar untuk bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan perlu dimaklumkan dan membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Kg Batu Muda Tambahan terletak dalam kawasan Parlimen Batu, dan wakil rakyatnya, P. Prabakaran berkata majoriti penduduk di tu adalah dalam golongan pertengahan dan atasan.

“Mereka mempunyai makanan mencukupi dan akses kepada hiburan seperti Internet, Astro atau Netflix untuk mengisi masa,” katanya.

“Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan. Makanan akan dihantar di dewan masyarakat dan penduduk akan ambil di situ.”

Setakat ini katanya, hampir 500 penduduk sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan.

Malaysia semalam merekodkan 7,857 kes baharu, mengatasi 7,478 kes hari sebelumnya.

Kuala Lumpur merekodkan 561 kes, berkurangan berbanding 760 kes hari sebelumnya.

Jumlah kes kumulatif di seluruh negara pada masa ini ialah 541,224. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen