MAHKAMAH tertinggi India telah memutuskan bahawa memainkan lagu kebangsaan dalam pawagam sebelum tayangan filem tidak lagi diwajibkan, sekali gus menterbalikkan keputusannya sebelum ini.
Mahkamah Agung pada 2016 telah memerintahkan bahawa pawagam di India wajib memainkan lagu kebangsaan sebelum menayangkan sesuatu filem.
Penonton pula, dengan pengecualian orang kurang upaya, dikehendaki berdiri dan mendengarnya.
“Perintah interim itu, yang diputuskan pada 30 November 2016, telah diubah suai kepada memainkan lagu kebangsaan sebelum tayangan filem di pawagam bukanlah mandatori seperti yang diarahkan,” demikian putus satu panel Mahkamah Agung yang bersidang pada Selasa.
Bagaimanapun, mahkamah itu berkata keputusan muktamad berhubung isu tersebut akan dibuat oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan.
Terdapat pelbagai perdebatan berhubung nasionalisme dan langkah mempamerkannya secara terbuka di India sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perintah sebelum ini iaitu memainkan lagu kebangsaan sebelum tayangan filem di pawagam dilihat sebagai mempromosi “patriotisme dan nationalisme” dalam kalangan rakyat India bagi mempertingkat rasa cinta mereka terhadap negara. – Bernama, 10 Januari, 2018.
Komen