Malaysia akan percepat program imunisasi, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan menerima penghantaran vaksin tambahan bagi mempercepat program imunisasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

MALAYSIA akan menerima vaksin tambahan dari Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dalam beberapa bulan mendatang bagi mempercepat program imunisasi kebangsaan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bagi mereka yang tidak berjaya mendaftar untuk AstraZeneca, kerajaan akan menerima penghantaran vaksin tambahan bagi mempercepat program imunisasi.

“Pada 21 Mei, Menteri Kesihatan Adham Baba menandatangani perjanjian penghantaran 12.8 juta dos vaksin Pfizer.

“Ini bermakna kita mempunyai 44.8 juta dos Pfizer yang cukup untuk merangkumi 70% populasi,” katanya pada sidang media hari ini. 

Beliau menambah bahawa 25 juta dos vaksin akan diberikan pada suku ketiga tahun ini.

Khairy – yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata negara juga akan menerima 12 juta dos vaksin Sinovac pada akhir bulan Julai.

“Kita akan menerima 6.9 juta dos vaksin Sinovac dari Beijing dan selebihnya akan dipenuhi oleh Pharmaniaga,” katanya.

Khairy berkata Malaysia akan menerima 610,000 dos AstraZeneca pada Jun dan 410,000 dos pada Julai.

Ini akan datang dari kemudahan syarikat di Thailand dan masih tertakluk kepada kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Dengan pemberian vaksin tambahan, kami menjangkakan dapat memberikan 150,000 dos sehari pada Jun. Ini akan melibatkan penubuhan lebih banyak pusat vaksinasi (PPV) di seluruh negara.

“Ada cukup vaksin, dan akan mempercepatkan program vaksinasi,” katanya. – 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen