Qatar umum AS$500 juta pembinaan semula Gaza


Anak-anak Palestin bermain di kawasan bangunan yang runtuh akibat diserang Isreal. Qatar mengumumkan akan menyalur AS$500 juta untuk pembangunan semula Gaza. – Gambar EPA, 27 Mei, 2021.

QATAR semalam mengumumkan akan menyediakan AS$500 juta untuk pembangunan semula Gaza selepas wilayah Palestin dihancurkan oleh serangan udara Israel dalam tempoh 11 hari.

“Qatar mengumumkan bantuan AS$500 juta untuk pembinaan semula Gaza,” kata Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani.

Qatar adalah penyokong utama kumpulan Islam Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza.

“Dana itu bertujuan membantu warga Gaza berdepan tentangan hidup yang disebabkan oleh serangan Israel baru-baru ini dan untuk menyumbang kepada pembangunan semula kemudahan perkhidmatan di Gaza selain rumah yang musnah,” kata agensi berita rasmi QNA

Serangan yang dilakukan oleh Israel bermula pada 10 Mei dan dalam tempoh 11 hari, seramai 254 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak terbunuh dan mencederakan lebih 1,900 orang, lapor kementerian kesihatan di Gaza.

Usaha diplomatik sedang dilakukan untuk mengukuhkan gencatan senjata yang rapuh di Mesir bagi menghentikan pertempuran dengan rancangan untuk membina semula Semenanjung Gaza yang dirosakkan selepas diserang oleh Israel.

Kaherah minggu lalu juga menjanjikan AS$500 juta untuk pembinaan semula di Palestin yang berada di bawah sekatan Israel selama hampir 15 tahun. – Bernama, 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen