PENYANYI Siti Nurhaliza dan suami Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19 ketika menganjurkan majlis tahnik anak kedua mereka awal bulan ini, kata polis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad dan tiga penceramah agama yang hadir di majlis itu juga dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 seorang, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.
Tiga penceramah itu ialah Azhar Idrus, Don Daniyal dan Iqbal Zain Al Jauhari.
“Arahan kompaun dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya selepas meneliti kertas siasatan dan mendapati pasangan berkenaan gagal mematuhi penjarakan fizikal sewaktu bergambar dan sebagainya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Arjunaidi juga berkata tiga anak Khalid turut dikenakan kompaun maisng-masing RM2,000 seorang.
Siti Nurhaliza menganjurkan majlis aqiqah, maulid dan tahnik untuk anak keduanya Muhammad Afwa di kediaman mereka di Ampang, Selangor pada 26 April lalu.
Majlis itu jadi kontroversi selepas orang ramai mempersoalkan pematuhan SOP pencegahan Covid-19 susulan foto-fotonya yang dimuat naik oleh Siti Nurhaliza ke media sosial.
Orang ramai juga mempertikaikan kehadiran menteri dan tokoh agama ke majlis itu yang dianggap tidak sensitif dengan pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui oleh orang lain ketika Covid-19 sedang merebak.
Mereka juga mempertikaikan kehadiran Zulkifli dan Azhar kerana bukan tinggal di Selangor atau Kuala Lumpur.
Pada 3 Mei lalu, Ketua Polis Ampang Jaya,Mohamad Farouk Eshak mengesahkan pihaknya membuka siasatan selepas menerima laporan mengenai majlis itu.
Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Sementara itu, Arjunaidi berkata pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi juga dikenakan kompaun kerana melanggar SOP larangan ziarah hari raya pada 1 Syawal lalu. – 27 Mei, 2021.
Komen