Sektor pelancongan perlu dibuka pada September, kata pengusaha


Bernard Saw

Pengusaha pelancongan menjangkakan pandemik akan terkawal menjelang akhir tahun ini berikutan semakin ramai yang sudah divaksin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

AKTIVITI pelancongan perlu digerakkan kembali pada September selepas vaksinasi besar-besaran dan penularan Covid-19 berkurangan bagi mengelakkan ramai gulung tikar, kata pengusaha.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight pandemik yang semakin teruk menyebabkan industri pelancongan lumpuh dengan 70% agensi pelancongan menjadi tidak aktif, menyebabkan ramai kehilangan kerja.

Mereka juga mahu kerajaan membantu mereka dalam tempoh sukar ini dengan memastikan subsidi upah dibayar tanpa penangguhan ketika sementara mereka melakukan aktiviti lain untuk terus kekalkan perniagaan.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan memberitahu The Malaysian Insight beliau menjangkakan perniagaan akan suram dalam tempoh empat bulan akan datang berikutan pandemik yang semakin teruk.

“Sudah pasti mustahil untuk melakukan sebarang aktiviti dari Jun hingga September. Saya harap kerajaan boleh melanjutkan subsidi upah dalam tempoh ini,” katanya.

Tan berkata sebelum kerajaan melaksanakan perintah awalan pergerakan ketiga (PKP 3.0), pengusaha dalam industri menjangkakan pandemik akan terkawal menjelang akhir tahun ini berikutan semakin ramai yang sudah divaksin.

Persatuan berkenaan mengambil risiko mengadakan pameran pelancongan pada minggu pertama bulan November tahun ini dengan harapan dapat membawa lebih banyak perniagaan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Pameran pelancongan November diadakan bagi mereka yang merancang untuk bercuti pada akhir thun dan mereka yang mahu ke luar negara pada separuh pertama 2022.

“Kami menaruh harapan agar perniagaan bertambah baik pada separuh pertama 2022 kerana sekarang baru Mei dan ada lebih dari setengah tahun lagi untuk  pandemik pulih.

“Dengan program vaksinasi, kami harap keadaan akan lebih selamat menjelang Oktober tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya situasi tidak berubah dan prosedur operasi standard (SOP) lebih diperketatkan, pameran pelancongan terpaksa ditangguhkan.

Berikutan pandemik, sebahagian besar agensi pelancongan tidak aktif berikutan perjalanan dalam dan luar negara masih tidak dibenarkan.

Tan berkata agensi pelancongan pada awalnya bergantung kepada perjalanan domestik untuk bertahan namun larangan rentas negeri dan rentas daerah menyebabkan ia tidak menjadi kenyataan.

“Agensi pelancongan langsung tiada sambutan. Walaupun pejabat mereka dibuka, pelanggan yaang buat pertanyaan pun langsung tidak ada.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) mendapati 70% syarikat dibawahnya tidak aktif manakala yang lain melakukan perniagaan sampingan bagi mengekalkan pendapatan syarikat.

Tan berharap program vaksinasi kebangsaan akan selesai tidak lama lagi agar pelancongan domestik dan gelembung perjalanan dengan negara jiran seperti Singapura dan Thailand boleh dibuat bagi membenarkan orang ramai melancong ke luar negara. – 27 Mei, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen