SEKURANG-kurangnya 150 orang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Niger, Nigeria semalam, kata pihak berkuasa tempatan.
Bot berkenaan dalam perjalanan dari Niger tengah ke Wara di barat laut wilayah Kebbi dan dipercayai karam akibat terlebih muatan.
“Bot itu hanya boleh membawa tidak lebih 180 penumpang,” kata pengurus National Inland Waterways Authority, Yusuf Birma kepada pemberita.
“Seramai 20 penumpang berjaya diselamatkan, empat maut, manakala 156 lagi masih hilang.”
Birma berkata bot tersebut menuju ke pasar di Malele di Borgu ketika karam.
“Bot itu sudah usang, tetapi pengusaha tidak mengendahkan arahan supaya bawa penumpang ikut muatan,” katanya.
Terdahulu, ketua pentadbir tempatan Abdullahi Buhari Wara berkata kemalangan itu berpunca lebihan muatan kerana bot tersebut hanya boleh membawa kurang daripada 80 penumpang.
Bot itu juga dimuatkan dengan beberapa beg pasir dari sebuah lombong emas, katanya. – AFP, 27 Mei, 2021.
Komen