Moon desak permohonan maaf dari Jepun dalam isu hamba seks 


Presiden Korea Selatan Moon Jae-In ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media Tahun Baru di Rumah Biru Presiden di Seoul, Korea Selatan hari ini.– Gambar EPA, 10 Januari, 2018.

PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae-in semalam meminta “permohonan maaf secara telus” daripada Jepun kepada mangsa-mangsa hamba seks 
ketika perang dunia kedua, menyelar perjanjian 2015 sebagai penyelesaian yang “salah”.

Seoul minggu ini berkata ia tidak akan meminta untuk rundingan semula perjanjian itu, kerana ia telah dipersetujui Tokyo dan kerajaan Korea Selatan sebelum ini.

Tetapi ia berkata ia tidak akan lagi menggunakan wang Jepun untuk membayar pampasan kepada mangsa.

Isu wanita dipaksa menjadi hamba seks kepada tentera Jepun pada perang dunia kedua menyebabkan hubungan dua negara jiran tersebut tegang - kedua duanya sekutu AS dan diancam oleh negara nuklear Korea Utara - selama berdekad.

Perjanjian mengenai apa yang disebut sebagai “keselesaan wanita” tidak sepatutnya dilakukan tanpa penglibatan mangsa, kata Moon dalam sidang akhbar tahun baru.

“Isu ini tidak boleh diselesaikan dengan pemberian pampasan antara kerajaan dan mangsa,” katanya.

“Semua kekusutan harus dileraikan. Jepun harus menerima kenyataan, minta maaf secara telus kepada mangsa.”

Permohonan maaf akan membolehkan mangsa memaafkan kesalahan silamnya, tambahnya.

Perjanjian tersebut dimuktamadkan oleh presiden yang digulingkan Park Geun-Hye di bawah tekanan oleh Washington atas ancaman keselamatan oleh Korea Utara.

Di bawah perjanjian itu, Korea Selatan berjanji tidak akan membangkitkan isu itu lagi dan Jepun akan memindahkan sebanyak 1 bilion yen (sekarang $8.9 juta) kepada yayasan yang ditubuhkan untuk membantu mangsa tersebut.

Tokyo bagaimanapun berang dengan komen tentang isu tersebut oleh Seoul minggu ini.

Jurucakap kerajaan dan ketua setiausaha kabinet Jepun Yoshihide Suga semalam berkata: “Jepun tidak akan dapat menerima jika Korea Selatan meminta supaya kami mengambil langkah lanjut walaupun perjanjian itu mengesahkan penyelesaian akhir kepada isu tersebut.”

Moon mengutuk perjanjian itu ketika berkempen dan telah dipilih sebagai presiden pada Mei selepas Park didakwa dan dipenjarakan atas skandal rasuah.

 Tetapi beliau berkata hari ini: “Terdapatnya perjanjian rasmi antara Korea dan Jepun memang tidak boleh dinafikan. Ia juga penting untuk menangani hubungan antara Korea dan Jepun secara berhati hati.” – AFP, 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen