Ketua mafia Itali ditangkap di Brazil selepas 30 tahun diburu


Gambar fail Rocco ketika ditahan pada 2018. Setahun kemudian dia melarikan diri dari penjara sebelum ditangkap pihak berkuasa Brazil pada Isnin lepas. – Gambar AFP, 26 Mei, 2021.

PENDAKWA raya Itali dan polis bersorak gembira dengan penangkapan ketua mafia negara itu di Brazil yang sebelum ini telah melarikan diri dari pengadilan di Itali selama hampir 30 tahun.

Rocco Morabito, nombor dua dalam senarai paling bahaya Itali, ditangkap pada Isnin di timur laut Brazil.

Penangkapannya dibuat hampir dua tahun setelah dia melarikan diri dari penjara di Uruguay, di mana dia sedang menunggu untuk diekstradisi ke Itali.

Morabito - yang dianggap sebagai “capo” atau kapten kumpulan jenayah terancang Ndrangheta - ditemui di bandar Joao Pessoa bersama dengan pelarian Itali yang lain, berikutan operasi global melibatkan Itali, Uruguay dan Amerika Syarikat.

Digelar sebagai “raja kokain”, dia telah dicari sejak 1994 oleh pihak berkuasa Itali, yang selama beberapa dekad berusaha memasuki ke dalam ‘Ndrangheta, sindiket paling besar di negara itu yang jaringannya melangkaui jauh di luar wilayah Calabria.

Morabito adalah “salah satu broker yang paling penting dalam perdagangan dadah”, kata Giovanni Bombardieri, ketua pendakwa raya di Reggio Calabria, selatan Itali semasa sidang media dalam talian.

Siasatan dimulakan sejurus selepas melarikan diri dari penjara pada tahun 2019 menunjukkan bahawa Morabito berada di Brazil, kata Pasquale Angelosanto, komandan unit operasi khas Itali, yang menangani jenayah terancang.

Pendakwa raya Uruguay pada Selasa berkata Morabito akan diekstradisi terus dari Brazil ke Itali, di mana dia “telah melakukan jenayah paling serius” dan akan berhadapan hukuman penjara 30 tahun. – AFP, 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen