Zaid soal jawatankuasa khas darurat, ada nasihat Agong?


Tanggungjawab mereka hanya satu, iaitu menasihati Agong mengenai Darurat, dan apakah saranan mereka kepada Agong, jika ada, soal Zaid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2021.

BEKAS menteri undang-undang Zaid Ibrahim mahu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menjelaskan jika ada pihak menasihati Agong mengenai status Darurat.

Beliau berkata tugas jawatankuasa khas hanya memberi nasihat kepada Agong mengenai keadaan darurat, justeru Zahid bertanya adakah mereka telah bermesyuarat mengenai perkara tersebut.

“Tanggungjawab mereka adalah untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong jika tempoh Darurat perlu dipendekkan dan tidak menunggu sampai 1 Ogos.

“Ini jelas sekali dinyatakan sebagai sebahagian dari fungsi dan tanggungjawab mereka. Adakah mereka sudah bertemu untuk isu ini, dan jika begitu, apa saranan mereka kepada yang di-Peruan Agong?” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 9 Februari, Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan bekas Ketua Hakim Ariffin Zakaria telah dilantik mengetuai 18 anggota jawatankuasa khas bebas untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai bila darurat perlu ditamatkan.

Pada 12 Januari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan perintah darurat sehingga 1 Ogos untuk mengekang peningkatan jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata perintah darurat yang diumumkan oleh Agong bertujuan memberi kerajaan lebih banyak kuasa untuk memerangi pandemik.

Zaid juga berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan pengisytiharan Darurat perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini belum dibuat. Pelaksanaan Darurat yang tepat, yang dibentuk oleh jawatankuasa dibentuk untuk memastikan dan memerlukan kepatuhan dengan undang-undang negara.

“Apa nasihat jawatankuasa khas kepada Agong mengenai hal ini? Rakyat yang sedang menderita ingin tahu.”

Zaid berkata tujuan kerajaan adalah untuk membolehkan jawatankuasa itu menasihati Agong secara bebas sekiranya usaha kerajaan menangani Covid-19 benar-benar dilaksanakan dengan cukup baik.

“Pada ketika ini rakyat telah bersuara. Mereka sangat percaya kerajaan telah gagal menangani Covid-19.

“Bekalan vaksin tak cukup, persetujuan vaksin lewat, proses vaksinasi lambat, orang yang tidak ada telefon pintar tak tahu tentang MySejahtera.”

Tambahnya ada banyak keputusan yang teruk dan tidak berfungsi dengan baik berhubung Perintah Kawalan Pergerakan dan Prosedur Operasi Standard yang menyebabkan pandemik itu tidak terkawal.

Katanya negara berada dalam krisis namun rakyat tidak mampu buat apa.

“Jika golongan elit di negara kita tidak melihat perlunya bertindak dengan tegas dan melakukan perkara yang betul untuk rakyat. Tunggu masa sahaja sebelum mereka juga akan menderita kerana sikap tidak peduli mereka. Masa akan tentukan.”

Tambah Zaid, tindakan Agong bergantung pada nasihat yang diberikan kepadanya.

“Prestasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam hal ini tidak sepenuhnya peribadi baginya, kerana tuanku mewakili institusi monarki secara keseluruhan.

“Ada Raja-raja Melayu lain yang akan terpengaruh dengan keputusan apa pun yang dibuat oleh Seri Paduka.”

Zaid berkata, itu adalah beban berat bagi Agong, jadi penting agar jawatankuasa itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas dan dengan hati nurani yang baik. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen