Lebih 200 ditahan dalam tunjuk perasaan di Tunisia 


Polis dan tentera dikerahkan ke beberapa bandar utama di Tunisia selepas tercetusnya tunjuk perasaan yang membawa kepada keganasan. – Gambar EPA, 10 Januari, 2018.

LEBIH 200 orang ditahan dan ramai lagi dilaporkan cedera dalam tunjuk perasaan di beberapa bahagian di Tunisia, kata menteri dalam negeri pada Rabu, selepas malam kedua tercetusnya ketegangan berikutan kemarahan orang ramai atas langkah-langkah penjimatan. 

Jurucakap kementerian Khalifa Chibani memberitahu radio tempatan bahawa 49 anggota polis cedera dalam pertempuran yang tercetus di seluruh negara itu dan mengesahkan 206 orang penunjuk perasaan ditahan. 

Banyak kemudahan dirosakkan, katanya, termasuk cawangan rangkaian pasar raya Carrefour di kawasan pinggi bandar yang mana barangannya turut dilarikan penunjuk perasaan.

Polis dan tentera dikerahkan ke beberapa bandar pada waktu malam, termasuk di Tebourba, 30 kilometer dari barat ibu negara Tunis, di mana ratusan golongan belia turun ke jalan raya selepas pengebumian seorang lelaki berusia 40an yang maut dalam keganasan itu pada malam Isnin. 

Polis bagaimanapun menafikan mereka membunuh lelaki berkenaan. Hasil bedah siasat juga tidak didedahkan kepada umum. 

Keganasan juga tercetus di selatan bandar Gafsa, di Kasserine di tengah Tunisia dan di Sidi Bouzid, iaitu lokasi di mana tercetusnya Arab Spring pada 2011. 

Tunisia menyaksikan tunjuk perasaan sejak beberapa hari lalu selepas aktivis dan ahli politik negara itu mengutuk kenaikan cukai nilai tambah dan sumbangan sosial yang diperkenalkan pada permulaan tahun ini berikutan bajet baru yang sukar dilaksanakan. – AFP, 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen