Putin, Biden akan bersemuka buat pertama kali di Geneva


Mesyuarat di bandar kaya di Switzerland itu - yang menempatkan banyak organisasi PBB dan lokasi pertemuan sidang 1985 yang bersejarah antara pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev dan presiden AS Ronald Reagan - akan berlangsung pada 16 Jun. – Gambar AFP, 26 Mei, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden dan pemimpin Rusia Vladimir Putin akan mengadakan pertemuan sidang pertama bulan depan di Geneva, kata kedua-dua pihak pada Selasa.

Mesyuarat di bandar kaya di Switzerland itu - yang menempatkan banyak organisasi PBB dan lokasi pertemuan sidang 1985 yang bersejarah antara pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev dan presiden AS Ronald Reagan - akan berlangsung pada 16 Jun.

“Para pemimpin akan membincangkan berbagai isu mendesak, kerana kami berusaha untuk mengembalikan ramalan dan kestabilan hubungan AS-Rusia,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki.

Kremlin mengesahkan perincian sidang itu, dengan berkata dalam satu kenyataan bahawa Putin dan Biden akan membincangkan “isu kestabilan strategik,” serta “menyelesaikan konflik wilayah” dan pandemik Covid-19.

Biden, yang membuat lawatan antarabangsa pertamanya sebagai presiden, akan ke Geneva sejurus pertemuan sidang dengan sekutu-sekutu Baratnya di G7, Nato dan Kesatuan Eropah.

Pertemuan pertama dengan pemimpin Kremlin dijangka berlangsung di tengah-tengah ketegangan yang tidak pernah dilihat selama bertahun-tahun.

Tidak seperti pada 2009, ketika Biden menjadi naib presiden dan pemerintahan presiden Barack Obama ketika itu mengisytiharkan “reset” diplomatik dengan pemerintah Putin, harapan di sidang kali ini jauh lebih rendah.

Pertemuan berprofil tinggi dilihat bersesuaian dengan Putin pada saat dia menghadapi tekanan dari Barat, namun keputusan Biden untuk bertemu tidak boleh dianggap sebagai tanda persetujuan, kata pegawai Rumah Putih.

“Kami tidak menganggap pertemuan dengan presiden Rusia itu sebagai ganjaran,” kata Psaki.

Sejak memegang jawatan, Biden telah mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow kerana AS menuduh Rusia berperanan dalam serangan siber Solar Winds secara besar-besaran dan berulang kali campur tangan dalam pilihan raya presiden 2020.

Di samping itu, Washington telah mengecam keras Moscow atas tindakan bekas negara Soviet itu memenjarakan salah seorang pembangkang paling lantangnya, Alexei Navalny.

Ketegangan juga tinggi di Ukraine, di mana Rusia sudah menguasai wilayah dan baru-baru ini mengumpulkan pasukan di sempadan.

Tumpuan lain adalah pada Belarus yang dikuasai Rusia, yang menimbulkan kegemparan minggu ini setelah pihak berkuasa memaksa sebuah pesawat terbang dipintas supaya mendarat, sebelum menangkap penentang Presiden Alexander Lukashenko yang berada di dalam pesawat komersil itu.

Malah Biden pernah memberitahu seorang wartawan beliau setuju dengan kenyataan Putin sebagai “pembunuh,” sehingga Rusia secara rasmi mengisytiharkan Amerika Syarikat sebagai negara yang “tidak ramah”. – AFP, 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen