Riyadh arah masjid guna pembesar suara untuk azan, iqamat sahaja


Riyadh mengarahkan semua masjid di Arab Saudi mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk kegunaan laungan azan dan bacaan iqamat sahaja. – Gambar AFP, 26 Mei, 2021.

RIYADH mengarahkan semua masjid di Arab Saudi mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk kegunaan laungan azan dan bacaan iqamat sahaja, menurut laporan media tempatan.

Laporan Saudi Gazette menyebut arahan itu dikeluarkan menteri hal ehwal agama negara itu, Sheikh Dr Abullatif Abdulaziz Al-Sheikh dalam satu pekeliling pada awal minggu ini.

Arahan tersebut juga menegaskan, kekuatan bunyi tersebut tidak boleh melebihi satu pertiga daripada kekuatan pembesar suara.

“Menteri juga memberi amaran tindakan kawalan akan diambil ke atas sesiapa yang melanggar pekeliling ini,” laporan itu dipetik.

Arahan itu dikeluarkan selepas kementerian mendapati pembesar suara untuk siar raya di luar masjid digunakan semasa menunaikan solat.

“Ini mengancam pesakit, orang tua, dan kanak-kanak di rumah di sekitar masjid,” kata laporan itu lagi.

Selain itu, bacaan oleh imam yang disiarkan itu dilaporkan menimbulkan kekeliruan kepada orang lain yang menunaikan solat di masjid dan kediaman lain di kawasan itu.

Laporan itu menyebut, arahan berkenaan berpandukan syariah dan hadis nabi yang menyatakan ibadat solat dan doa kepada Allah tidak sewajarnya menyusahkan orang lain dengan bacaan kuat.

Ia turut berpandukan kepada pelaksanaan fikah yang menegah daripada mendatangkan keburukan kepada satu sama lain.

Selanjutnya, ia menyatakan alasan mengikut syariah bahawa suara imam hanya perlu didengar di dalam masjid dan tidak perlu didengari sehingga ke kawasan kejiranan berdekatan.

Selain itu, ia menggariskan bahawa bacaan kuat menggunakan pembesar suara juga satu penghinaan kepada al-Quran apabila tiada sesiapa mendengar dan meneliti surah terbabit.

Pekeliling itu dikeluarkan berdasarkan fatwa dan pandangan ilmuan serta pakar antaranya Sheikh Muhammad Bin Saleh Al-Othaimeen dan Dr Saleh Al-Fowzan.

Arahan itu muncul sewaktu negara tersebut melaksana ujian bagi melonggarkan kawalan pergerakan untuk menangani pandemik Covid-19.

Portal Al-Arabiya melaporkan, kelonggaran bermula minggu lalu membolehkan pertunjukan pentas dan konsert, penginapan hotel, dan majid perkahwinan diadakan di Dubai bagi tempoh sebulan.

Acara hiburan, sosial dan institusi dibenarkan menerima kehadiran 70% pengunjung dan kakitangan yang sudah divaksin.

Negara itu juga mula membuka sempadan darat, udara dan lautnya bermula Isnin kepada pengembara yang sudah divaksin.

Individu yang pulih dari jangkitan Covid-19 untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan memiliki insuran kesihatan juga dibenarkan masuk. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen