Mexico mula eksport vaksin AstraZeneca ke Amerika Latin


Mexico akan mula mengeksport vaksin AstraZeneca ke negara-negara Amerika Latin lain di bawah perjanjian pengeluaran bersama dengan Argentina. – Gambar EPA, 26 Mei, 2021.

MEXICO tidak lama lagi akan mula mengeksport vaksin AstraZeneca ke negara-negara Amerika Latin lain di bawah perjanjian pengeluaran bersama dengan Argentina, kata kerajaan semalam.

Penghantaran pertama sebanyak 800,000 dos akan dihantar ke Argentina hujung minggu ini sementara Mexico juga akan menerima kumpulan pertama, kata kerajaan selepas beberapa kali program itu ditunda kerana kekurangan bekalan pembungkusan.

Menteri Luar Negeri Mexico, Marcelo Ebrard memberitahu wartawan bahawa ia merupakan proses yang panjang dan rumit.

Selepas kebenaran akhir diberikan oleh AstraZeneca yang dijangka minggu ini, kilang akan mula menghantar bekalan kepada Mexico, Argentina dan negara Amerika Latin lain.

Presiden Andres Manuel Lopex Obrador berkata Mexico – salah satu negara paling teruk dengan jumlah kematian rasmi Covid-19 hampir 222,000 – komited membantu negara-negara yang tidak memiliki vaksin yang cukup.

President Argentina Alberto Fernandez berkata negaranya yang berdepan lonjakan kes koronavirus berkata bahawa pengeluaran bersama akan membuatkan Amerika Latin kurang bergantung pada wilayah lain untuk mendapatkan vaksin. – AFP, 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen