SEKURANG-KURANGNYA 16 sehingga 25 peratus tentera Amerika Syarikat sudah berundur dari Afghanistan, kata Komando Pusat Pentagon semalam.
Tentera AS mempunyai masa sehingga September untuk membawa keluar 2,500 tentera, 16,000 kontraktor awam dan beratus-ratus tan peralatan yang berada di Afghanistan pada awal tahun ini.
Bulan lalu Presiden Joe Biden memerintahkan tentera AS berundur sekali gus mengakhiri perang 20 tahun menyusuli tragedi serangan 11 September 2001 oleh al-Qaeda.
Pentagon tidak menjelaskan secara terperinci proses itu atas sebab keselamatan bagi mengelak risiko diserang Taliban atau kumpulan lain yang menentang kehadiran AS di Afghanistan.
Komando Pusat berkata sejak pemerintahan Biden, pihaknya sudah menyerahkan lima kemudahan dan pangkalan kepada pasukan keselamatan Afghanistan dan memindahkan barangan yang boleh memuatkan 160 pesawat pengangkut C-17.
Pangkalan yang diserahkan termasuk Kandahar Airfield di selatan Afghanistan yang merupakan pangkalan tentera kedua terbesar di negara itu untuk pasukan AS.
Pentagon sudah menghantar pengebom tambahan dan aset lain ke rantau itu bagi memastikan pasukan NATO AS dan rakan kongsi tetap selamat semasa pengunduran mereka.
Penarikan itu tidak menghentikan serangan pemberontak Taliban terhadap kerajaan Afghanistan, sasaran ketenteraan dan orang awam.
Tetapi pegawai AS berkata bahawa serangan itu tidak menghalang pengunduran mereka. – AFP, 26 Mei, 2021.
Komen