Polis Perak tahan 3 lelaki cuba rentas daerah guna laluan tikus


Mereka mengaku memotong dawai kawat duri untuk melintas dari arah Changkat Asa, Hulu Bernam ke Kampung Lambak, Tanjung Malim, kata polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2021.

POLIS menahan tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia kerana merentas negeri menerusi laluan tikus yang dipasang pagar kawat duri di sempadan Hulu Bernam-Tanjung Malim kira-kira 130 kilometer dari Ipoh petang tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua lelaki yang berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun dan bekerja di kebun ditahan semasa sepasukan polis menjalankan pemantauan Ops Covid-19 pada kira-kira 2.20 petang.

“Ketiga-tiga lelaki itu mengaku memotong dawai yang mengikat kawat duri untuk melintas dari arah Changkat Asa, Hulu Bernam ke Kampung Lambak, Tanjung Malim bagi tujuan bersiar-siar. 

“Hasil semakan mendapati seorang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal melebihi masa serta seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala seorang lelaki tempatan mempunyai rekod lampau melibatkan Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Sulizmie Affendy berkata ketiga-tiga lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) (Pindaan 2021).

“Satu kompaun bernilai RM5,000 telah dikeluarkan ke atas lelaki tempatan di bawah Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (PPDPP) Berjangkit manakala dua lagi warga asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. 

Empat mukim di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu sejak 22 Mei lalu iaitu Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim. – Bernama, 25 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen