Kematian meningkat, pengendali pengebumian mahukan vaksin


Angie Tan

Pengendali perkhidmatan pengebumian mahu mereka diberi divaksinasi segera susulan jumlah kematian akibat Covid-19 yang kian meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2021.

PENGENDALI perkhidmatan pengebumian meminta kerajaan mengutamakan mereka untuk vaksinasi Covid-19 memandangkan jumlah kematian akibat pandemik kian meningkat.

Industri pengebumian dilaporkan merasa bingung dengan tuntutan perkhidmatan mereka, di mana satu syarikat memproses 53 pengebumian berkaitan Covid-19 hanya dalam 23 hari.

Nirvana Care berkata tempoh dari 1 Mei hingga 23 Mei mencatat rekod tertinggi. Sebelum ini dari Januari hingga Mac, mereka menguruskan 55 kes, yang juga merupakan lonjakan dari jumlah 12 kes dari bulan Mac hingga Disember tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Istiadat Pengebumian Orang Ramai Malaysia Kong Thian Hau memberitahu The Malaysian Insight, industri pengebumian boleh dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi.

“Walaupun industri pengebumian bukan barisan hadapan menurut definisi kerajaan, kami masih berhubung rapat dengan mangsa Covid-19.

“Sebagai industri berisiko tinggi, 95% daripada kita belum diberi vaksin dan masih tidak termasuk dalam kumpulan utama untuk vaksinasi.

“Kami cuma dapat mendaftar melalui aplikasi MySejahtera ikut dengan prosedur umum dan tunggu pemberitahuan mengenai vaksinasi.”

Tambahnya, rata-rata umur pekerja di industri pengebumian adalah 40 tahun.

“Jangkitan Covid-19 kini mempengaruhi demografi yang lebih muda dan setiap kelompok usia berisiko dijangkiti. Kami desak kerajaan untuk memvaksinasi kami secepat mungkin.

“Kami juga meminta bantuan dalam semua aspek industri pengebumian, seperti meluluskan penyelesaian bahan penyahjangkit dan memberikan pengecualian cukai untuk peralatan pencegahan wabak.”

Katanya industri ini sudah mendapat tekanan besar dengan tenaga kerja yang tidak mencukupi selain dibebani pelbagai faktor keselamatan.

Pengurus besar penjualan dan perkhidmatan Nirvana Care, Teh Khai Lin berkata 97% kes yang diuruskan oleh syarikat itu adalah orang yang meninggal dunia berusia lebih dari 50 tahun.

Beliau risau dengan peningkatan kes, malah kini orang muda juga mudah dijangkiti virus itu.

“Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata kebanyakan pesakit tidak bergejala. Apabila pandemik bertambah buruk, pembendungan tidak akan berkesan.”

Tambahnya, keadaan semasa sangat menyedihkan dan sangat traumatik bagi banyak pihak.

“Buat masa sekarang, mustahil jika keluarga mahu ucap selamat tinggal kepada orang yang mereka sayang.

“Sejak pesakit dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dan jika pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, ahli keluarga tidak dibenarkan melawat dan hanya boleh bergantung kepada kakitangan perubatan untuk membuat panggilan video.

“Selepas kematian pesakit, bilik mayat terhad kepada satu orang sahaja. Tidak ada cara bagi ahli keluarga lain untuk lihat orang tersayang buat kali terakhir. “

Pemilik Perkhidmatan Pengebumian Ten & Ten, Ng Lie Cheng berkata, tapak pembakaran kerajaan di Cheras dan Petaling Jaya kini tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.

“Tempat membakar mayat di Cheras ada tujuh relau pembakaran. Dan lokasi pembakaran kerajaan Petaling Jaya hanya ada dua relau pembakaran.

“Setiap hari, ada kematian umum dan kematian akibat Covid-19 beratur untuk dibakar.

“Jika padat, kita akan minta mereka ke pusat pembakaran swasta tetapi bukan semua tapak pembakaran dibuka untuk terima mayat Covid-19.”

Katanya mereka harus menyusun dengan pegawai Kementerian Kesihatan untuk menunda sehari atau dua hari untuk mengumpul jenazah bila tempat pembakaran mayat penuh.

Pada 24 Mei, jumlah kematian dalam sehari mencapai tahap tertinggi dengan 61 kematian.

Kementerian Kesihatan melaporkan semua 61 kematian adalah warganegara Malaysia. Pada masa ini, jumlah kematian Covid-19 di seluruh negara telah mencapai 2,309. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen