ANGGOTA kariah sebuah surau di Kampung Pauh Lima di Kota Bharu mengaku menunaikan solat sunat terawih tanpa penjarakan fizikal dalam gelap pada bulan Ramadan lalu, menurut polis
Laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat menyebut, anggota jemaah itu bertindak demikian untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Empat individu yang disiasat termasuk imamnya mengaku melakukan demikian hampir setiap malam pada bulan Ramadan lalu di Surau Kampung Pauh Lima hampir setiap malam.
“Setakat ini, hanya empat daripada jemaah surau itu yang mengaku manakala yang lain kita belum ambil keterangan kerana mereka kini positif Covid-19 dan sedang menjalani tempoh kuarantin.
“Polis menyiasat kejadian itu kerana mereka menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Beliau mengulas laporan mengenai tindakan jemaah berkenaan sembahyang tanpa penjarakan dalam gelap dan menyorok selipar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ia menyebabkan penularan jangkitan besar sehingga mencetuskan Kluster Pauh Lima dan dan menyebabkan seluruh kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kampung yang meliputi daerah Kota Bharu dan Bachok itu dikenakan PKPD bermula 19 Mei sehingga 1 Jun.
Polis menyiasatk kes itu Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit, kata Shafien dalam laporan itu. – 25 Mei, 2021.
Komen