SEORANG wanita warga Nepal mati lemas dipercayai terhidu asap semasa diasingkan dalam “pondok haid”, tradisi purba yang diharamkan sejak lebih sedekad lalu, menurut polis hari ini.
Kebanyakan masyarakat di Nepal menganggap wanita yang sedang haid tidak suci dan di beberapa kawasan terpencil mereka dipaksa tidur di dalam pondok jauh dari rumah, amalan yang dikenali sebagai “chhaupadi”.
Gauri Bayak, 21, ditemui mati oleh jirannya di dalam sebuah pondok yang dipenuhi asap pada pagi Isnin di sebuah kampung di daerah barat Achham.
“Dia terpaksa menyalakan api untuk memanaskan dirinya dan kami syak dia lemas dan mati akibat tersedut asap,” kata ketua polis tempatan Dadhi Ram kepada AFP.
Polis sedang menunggu keputusan bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian.
Chhaupadi dikaitkan dengan Hinduisme dan menganggap wanita tidak boleh disentuh ketika haid, dan selepas melahirkan anak.
Selain dilarang menyentuh makanan, simbol agama, lembu dan lelaki, mereka dihalau dari rumah dan dipaksa tinggal di pondok.
Amalan itu diharamkan sejak 2005 tetapi masih dipraktikkan di beberapa kawasan di Nepal, terutamanya kawasan barat terpencil.
Tahun lalu seorang remaja mati selepas dipatuk ular ketika sedang tidur di sebuah pondok dan pada 2016 dua wanita mati dalam insiden berasingan akibat amalan tersebut.
Tahun lalu, Nepal meluluskan undang undang baru yang mensabitkan “chhaupadi” sebagai jenayah. Ia berkuat kuasa pada Ogos, di mana pesalah akan berdepan hukuman tiga bulan penjara dan denda 3,000 rupee ($30).
Manju Mahat, pegawai daerah hak wanita, berkata “chhaupadi” adalah “satu pelanggaran hak asasi manusia yang jelas” dan menggesa keluarga “menjalankan tanggungjawab dan menghentikan amalan ini”. — AFP, 10 Januari, 2018.
Komen